SAMBUTAN HARI GURU….. dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman
LABUAN: Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos depan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL) telah menganjurkan Sambutan Hari Guru 2020 secara maya.
Sambutan Hari Guru peringkat Labuan dengan tema “Guru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman, pada Sabtu.
Dr, Fary dalam ucapan perasmiannya berkata, guru memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga dalam pengajaran bagi memberi impak positif terhadap kualiti anak didik.
‘seorang guru ibarat cahaya yang menjadi penyuluh dalam melahirkan modal insan yang holistik dan berguna kepada masyarakat, selain mampu membina negara bangsa yang cemerlang dan gemilang” katanya.
Hadir sama menjayakan sambutan secara maya melalui platform Youtube Chanel itu ialah Timbalan Pengarah (Bahagian Sektor Pembelajaran), Jabatan Pendidikan Negeri, Yusop Mohammad, Ketua-Ketua Sektor, para pengetua dan Guru Besar.
Miskipun diadakan secara maya, namun sambutan itu tetap memberi makna besar kepada dua pesara guru yang berjasa kepada Labuan iaitu mantan Guru Besar SK Sungai Lada, Abdul Safar Awang Damit dan Mantan Pengetua SMK IBWS Pantai, Sahar Misron yang masing masing dinobatkan Tokoh Guru 2020.
Turut diumumkan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2019 dalam kalangan anak guru, Ikon Guru, Guru Inovatif dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan.





