25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

JPKK, KK dinasihat saling bekerjasama melaksanakan tugas

ISNIN (dua kanan) menyampaikan watikah kepada Ketua Daerah Tamparuli, OKK Jular Harung (tiga kiri) sambil disaksikan oleh Jahid (tiga kanan).

TAMPARULI: Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung dinasihatkan untuk saling melengkapi dan sentiasa bekerjasama dalam melaksanakan tugas mereka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pemimpin di peringkat akar umbi seperti Ketua Kampung dan JPKK perlu berjalan seiringan dan saling berganding bahu bagi membela rakyat.

“Jangan saling bersaing, tetapi harus sealiran, sama ada kepimpinan di kampung atau kepimpinan mahkamah, saling melengkapi dan jangan ada yang tidak sehaluan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Kampung Bagi Kawasan N.14 Tamparuli di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, sini hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Bin Aliasnih @ Liasnih, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), Jilias Lintar dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.

Menurut Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, pemimpin yang telah diberi mandat harus menjaga keperibadian mereka kerana peribadi mereka mencerminkan kerajaan, di mana baik buruknya mereka akan menunjukkan keadaan kerajaan masa kini.

“Harus berlaku adil kerana kamu diperturunkan kuasa membuat keputusan sama ada kecil atau besar, memelihara adat istiadat, berlaku adil dalam hubungan kekeluargaan, dalam urusan-urusan tanah, dan urusan cop-mengecop.

“Biar kita amanah dalam melaksanakan tanggunjawab, jujur, pegang teguh kepada kepercayaan agama, pastikan keputusan adalah berdasarkan fakta dalam apa juga urusan, dan biar kita menjadi satu ‘benchmark’ yang terkeluar daripada unsur-unsur rasuah,” katanya.

Sebagai pemegang adat, kesemua yang hadir diminta untuk sentiasa prihatin kepada rakyat dan sentiasa melakukan yang terbaik, demi menjaga nama baik kepimpinan, selain menjadi mata, telinga dan mulut kerajaan.

“Beri kerjasama yang baik kepada Penolong Pegawai Daerah (ADO) sebagai ketua pentadbir kita di daerah kecil Tamparuli.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Bin Aliasnih @Liasnih, menyeru kepada seluruh kepimpinan yang dilantik agar menjalankan tugas serta amanah mereka dengan baik di samping menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan tugasan masing-masing.

Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman, berkata, tanpa kerjasama dan sokongan sepenuhnya para pemimpin di peringkat akar umbi, pihaknya tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

Pada majlis tersebut, Jahid dan Isnin menyampaikan watikah kepada seorang Ketua Daerah, 5 orang Ketua Anak Negeri (KAN), 15 Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), dan 59 Ketua Kampung.

Bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, penyampaian dilakukan dalam beberapa kumpulan kecil secara bergilir.

Hadir sama Ketua Exco Pergerakan Wanita PBS, Datin Malianah Ugau, kakitangan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan kakitangan UPPM Tamparuli dan kakitangan Pejabat Menteri KPLB Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN