Jude…Calon STAR Dun Tulid
KENINGAU, 8 Oktober: Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Jordan Jude Ellron, menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Tulid pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selepas diumumkan sebagai calon oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
Dalam kenyataannya hari ini, Jordan merakamkan penghargaan kepada Dr Jeffrey atas kepercayaan yang diberikan, dan berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan satu lagi kemenangan buat STAR Sabah di DUN Tulid.
“Saya akan berkerja keras untuk menyumbangkan satu kerusi kepada STAR Sabah. Tidak janji, tapi bukti,” katanya, merujuk kepada gerak kerja yang akan dibentangkan tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada kempen beliau.
Jordan turut menegaskan bahawa visi dan misinya tertumpu kepada pembangunan seimbang serta pentadbiran yang cekap dan pantas mengikut keperluan semasa. Beliau juga menekankan komitmen generasi muda dalam memperjuangkan hak-hak Sabah yang menurutnya masih banyak belum ditunaikan sepenuhnya.
“Pentadbiran mesti laju, cekap dan ‘on time’. Generasi seperti saya akan terus memperjuangkan hak Sabah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memohon maaf kepada rakan-rakan dan penyokong atas sebarang kekurangan sebelum ini, sambil menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai pemimpin memerlukan kerjasama erat daripada seluruh penduduk di kawasan Tulid.
“Saya bukan Yang Berhormat, banyak perkara di luar kemampuan saya. Namun saya mohon penduduk DUN N.44 Tulid bersama saya dalam perjuangan ini,” ujarnya.
Jordan dijangka bakal berdepan penyandang kerusi DUN Tulid, Datuk Flovia Ng, yang sebelum ini mengumumkan keputusan untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) STAR yang lain.



