Jordan Jude
KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda StarSabah, Jordan Jude Ellron, mendakwa wujud gerakan dalam kalangan pemimpin tempatan yang sanggup memberi laluan kerusi kepada parti-parti dari Semenanjung menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, keputusan sayap Exco Wiramuda untuk berdiri teguh bersama Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, dibuat kerana keyakinan terhadap pendirian presiden itu yang dilihat tidak tunduk kepada tekanan politik luar.
“Ramai bertanya kenapa saya bersama Presiden. Jawapannya mudah, beliau faham permainan politik di seberang dan tidak mengikut telunjuk mereka,” katanya dalam satu hantaran di facebook miliknya hari ini.
Jordan mendakwa terdapat lebih 20 kerusi yang ‘dihadiahi’ kepada parti-parti luar oleh pemimpin Sabah sendiri.
“Sedih melihat ada pemimpin yang memberi laluan percuma kepada parti di seberang. Mereka seolah-olah takut Sabah menjadi seperti Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut membandingkan pendirian kepimpinan Sarawak yang tegas mempertahankan politik negeri mereka tanpa campur tangan parti Semenanjung.
“Kalau Sarawak boleh menolak parti Semenanjung dalam pilihan raya akan datang, kenapa Sabah tidak boleh?” tegasnya.
Menurut beliau, pengundi Sabah kini lebih matang dan tidak lagi mudah dibeli seperti dahulu.
Jordan yang juga Ketua STAR Bahagian Nabawan menyifatkan Presiden STAR sebagai antara segelintir pemimpin yang berani menentang tekanan politik.
“Biasanya bila keluar video kontroversi atau timbul tekanan, pemimpin akan ikut kehendak pihak luar. Tapi Presiden memilih untuk melawan demi semangat parti tempatan,” katanya.
Beliau turut menyindir pendekatan rundingan senyap sebelum pilihan raya, dengan menegaskan kestabilan politik hanya boleh dicapai selepas mandat rakyat ditentukan.
“Kalau takut, jangan berani-berani. Kalau berani, jangan takut-takut,” katanya sambil mempersoalkan berapa ramai pemimpin Sabah yang benar-benar sanggup mempertahankan prinsip.



