Jonathan (tengah) dan lain-lain dalam program itu
RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin melahirkan sokongan penuh terhadap usaha belia dan kaum muda dalam menganjurkan aktiviti sukan yang dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.
Beliau menekankan kepentingan meneruskan aktiviti seperti ini bagi mengeratkan hubungan antara belia dan membuka ruang untuk berkongsi idea dan pandangan.
Beliau menambah, penganjuran aktiviti sukan seperti bolasepak dan lain-lain pastinya dapat mengeratkan silaturahim antara peserta.
“Penyertaan pemain sepanjang perlawanan menunjukkan bahawa belia dan masyarakat amnya di sini sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.
“Ia juga secara tidak langsung membolehkan peserta menunjukkan bakat dan kebolehan mereka, terutamanya dalam perlawanan bola sepak seperti ini.
“Aktiviti sukan seperti ini juga dapat mencungkil bakat terpendam yang dapat ditonjolkan pada peringkat yang lebih tinggi, sekali gus memberi peluang kepada mereka yang ingin lebih aktif dalam acara sukan yang mereka sertai.
“Acara ini juga dapat mengurangkan sedikit sebanyak, malah dapat mencegah orang ramai daripada terjerumus ke dalam aktiviti yang tidak diingini iaitu penyakit sosial seperti penyalahgunaan dadah dan sebagainya,” katanya.
Jonathan berucap pada perasmian Program K21 Sports Day Kg Kinaratuan, yang diadakan di sini baru-baru ini.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya dan tahniah kepada Pengerusi Penganjur, serta semua pihak yang telah berusaha keras untuk menjayakan acara ini.



