26.6 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 19, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Jonathan Perkukuh Inisiatif Kebajikan, Pembangunan Rakyat Ranau

JONATHAN..Ahli Parlimen Ranau

RANAU: Keprihatinan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif berterusan merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, infrastruktur asas dan kesejahteraan sosial di seluruh daerah ini.

Sebagai wakil rakyat yang aktif turun padang, Jonathan konsisten memantau keperluan masyarakat bagi memastikan setiap lapisan penduduk, khususnya di kawasan pedalaman, menerima perhatian dan bantuan sewajarnya.

Dalam usaha menyokong kebajikan rakyat, beliau menggerakkan pelbagai program bantuan termasuk pengagihan makanan dan barangan keperluan asas kepada keluarga berpendapatan rendah, selain bantuan kecemasan kepada mangsa bencana seperti banjir, ribut dan tanah runtuh yang kerap melanda beberapa kawasan di Ranau.

Beliau turut memberi penekanan terhadap pendidikan melalui sumbangan kelengkapan sekolah kepada pelajar memerlukan, selaras dengan komitmennya memastikan generasi muda tidak tercicir daripada akses pendidikan berkualiti.

Di samping itu, kerja naik taraf infrastruktur kampung seperti pembaikan jalan raya, penambahbaikan sistem air graviti serta penyediaan kemudahan awam dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan setempat, dengan kerjasama erat agensi kerajaan berkaitan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

Dalam sektor kesihatan, Jonathan menegaskan inisiatif rawatan percuma bagi pesakit terlantar di wad Hospital Ranau kekal relevan dan diteruskan sehingga kini, sekali gus meringankan beban keluarga pesakit serta memastikan golongan rentan tidak terpinggir daripada mendapatkan rawatan sewajarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Hospital Ranau atas komitmen berterusan mereka dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang inklusif kepada masyarakat setempat.

Jonathan berkata pembangunan di Ranau perlu dilaksanakan secara berterusan dan seimbang, merangkumi pembangunan fizikal, pendidikan serta kebajikan sosial.


“Ranau mempunyai keluasan geografi yang besar dengan pelbagai cabaran setempat. Saya komited memastikan setiap kampung mendapat perhatian sewajarnya dan suara rakyat Ranau dibawa secara konsisten ke peringkat nasional,” katanya.

Dengan pendekatan kepimpinan yang dekat dengan rakyat serta penglibatan aktif di Parlimen, Jonathan terus dilihat sebagai antara pemimpin yang lantang memperjuangkan hak Sabah dan memainkan peranan penting dalam menjamin kebajikan serta pembangunan masyarakat Ranau –OLEH SALWAH ARAMAT.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN