Dr Francis (empt dari kiri) bersama kakitangan BKKM pada Aktiviti Walkabout Ramadan dan CSR Agihan Bubur Lambuk ‘Daripada Tangan Yang Bersih Dengan Hati Yang Ikhlas di Bazar Ramadan Jalan Merdeka, Dataran Labuan.
LABUAN: Selaras dengan Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan di bawahnya, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan (JKWPL) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan terus melaksanakan pemantauan ke atas makanan yang dijual sepanjang bulan Ramadan.
Demikian kata Pengarah JKNWPL, Dr Francis Paul ketika ditemui media sempena Aktiviti Walkabout Ramadan dan CSR Agihan Bubur Lambuk ‘Daripada Tangan Yang Bersih Dengan Hati Yang Ikhlas’ Ramadan Tahun 2026 yang di adakan di Bazar Ramadan, Jalan Merdeka Dataran Labuan di sini, pada petang kelmarin.
Dr Francis berkata aktiviti tersebut bertujuan untuk memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan, terutamanya di bazar-bazar Ramadan.
Katanya aktiviti pemantauan di sepanjang rantaian makanan telah dimulakan sejak sebelum Ramadan iaitu pada 11 Februari 2026 meliputi pemeriksaan ke atas sumber bahan mentah.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 10 kilang telah diperiksa meliputi 3 buah kilang ais, 5 buah kilang Air Minuman Berbungkus (AMB) dan 2 buah kilang mi tanpa pengeluaran Notis 32B”, katanya.
Sementara itu, pemeriksaan gerai bazar telah dimulakan sejak 20 Februari 2026 dengan 7 lokasi Bazar Ramadan iaitu Dataran Labuan, Anjung Selera Durian Tunjung, Kompleks Ujana Kewangan, Kolej Matrikulasi Labuan, Taman Mutiara, Kampung Layang-Layangan dan Balairaya Kampung Pantai.
“Jumlah premis makanan adalah sebanyak 501 premis. Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada peniaga-peniaga bazar yang melanggar Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya”, katanya.
Jelas beliau lagi, bagi pensampelan makanan di bulan Ramadan, sebanyak 19 sampel makanan telah diambil pada 23 Februari dengan 14 analisis mikrobiologi, 5 analisis kimia dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.
Turut diadakan pada aktiviti itu ialah Program CSR Agihan Bubur Lambuk “Daripada Tangan Yang Bersih Dengan Hati Yang Ikhlas”yang melibatkan kerjasama daripada empat buah hotel iaitu Dorsett Grand Labuan, Tiara Labuan Hotel, Lazenda Hotel Labuan dan Palm Beach Resort & Spa.
Kesemua hotel telah memperolehi Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selain itu, agihan apron dengan mesej “Makanan Bersih dan Selamat Keutamaan Kami”turut diedarkan kepada pengendali makanan di bazar.
Manakala pengunjung yang berada di bazar berkenaan turut menerima sampul raya dengan mesej “Cuci Tangan, Tutup Makanan, Makan Segar” yang diedarkan oleh staff JKNWPL.



