Datuk jumain Abdul Ghani bergambar dan menerima cendra kenangan daripada penganjur,(Tengah)
TAMBUNAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan melancarkan program Sukan Sunnah sebagai sebahagian daripada usaha membentuk generasi muda Islam yang sihat, berdisiplin serta berpaksikan nilai-nilai murni Rasulullah SAW.
Pengarahnya, Datuk Jumain Abdul Ghani, berkata program tersebut menyasarkan penyertaan pelajar sekolah agama negeri, remaja serta komuniti masjid dalam aktiviti sukan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti memanah, berkuda, berenang dan larian.
“Inisiatif ini bukan sekadar memperkenalkan aktiviti fizikal, tetapi juga bertujuan menyemai nilai-nilai sunnah dan akhlak Islam dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Bolasepak Tertutup Antara Masjid Kariah Daerah Tambunan, sempena sambutan Maal Hijrah peringkat daerah.
Menurut beliau, program berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula awal tahun 2026, membabitkan sekolah-sekolah agama, pusat tahfiz serta institusi masjid terpilih di seluruh Sabah.
Bagi menjayakan pelaksanaan program itu, JHEAINS merancang untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Persatuan Memanah Negeri Sabah serta beberapa pusat latihan berkuda bagi melatih tenaga pengajar bertauliah.
Dalam pada itu, kejohanan bolasepak yang berlangsung kali ini melibatkan penyertaan dari Zon 4 iaitu daerah Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom dan Nabawan, dengan pengurusan pertandingan dikendalikan oleh Sukbah Belia setiap masjid.
Datuk Jumain turut memaklumkan bahawa kejohanan dan penganjuran aktiviti belia ini akan diperluaskan ke seluruh negeri Sabah secara berperingkat.
Selain sukan moden dan sunnah, JHEAINS turut giat menghidupkan semula beberapa sukan tradisional seperti melastik, sebagai medium pendidikan nilai, kecekapan dan keterampilan dalam kalangan generasi muda Islam. -Herry Kunjan



