Jess
TAMPARULI: Ketua Wiramuda Tamparuli, Jess Joel Moriga (gambar), menyeru agar pengundi dan parti-parti politik di Sabah memberi peluang kepada golongan muda untuk menjadi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.
Beliau berkata, walaupun majoriti pengundi kali ini adalah anak muda, hampir 90% Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kini masih terdiri daripada generasi lama.
“Saya tidak berkata semua perlu diganti, tetapi keseimbangan itu sangat perlu bagi memastikan idea dan tenaga baharu menjadi sebahagian daripada pembuat dasar di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jess menegaskan, saranannya bukan bertujuan mengetepikan pemimpin berpengalaman, sebaliknya untuk mencipta keseimbangan antara tenaga baharu dan pandangan veteran.
“Bukan niat mau ketepikan orang veteran, sebab nasihat dan pandangan mereka masih sangat penting. Tapi orang muda juga perlu diberi peluang membawa pendekatan baharu,” katanya.
Menurutnya, Sabah tidak boleh terus bergantung kepada corak kepimpinan lama jika mahu bergerak seiring dengan dunia moden.
“Negara seperti United Kingdom berani melantik ahli parlimen semuda 19 tahun. Kalau Sabah mahu maju, kita juga perlu berani mempercayai kemampuan anak muda,” jelasnya.
Jess turut menegaskan bahawa orang muda Sabah kini jauh lebih bersedia — berpendidikan, berkemahiran, dan memahami isu semasa yang dekat dengan rakyat.
“Orang muda bukan sekadar pewaris masa depan — mereka pelaku masa kini. Kalau kita mahu perubahan sebenar, peluang itu perlu diberi sekarang,” katanya.
Beliau menyeru agar parti-parti politik di Sabah meletakkan lebih ramai calon muda yang berwibawa, bukan sekadar sebagai simbol, tetapi sebagai pelaku utama dalam membina masa depan negeri.
TAMAT



