Jess
TAMPARULI: Ketua Wiramuda STAR Sabah Bahagian Tamparuli, Jess Joel Moriga, menyatakan sokongan padu terhadap keputusan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, untuk bertanding secara solo serta keluar daripada gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Jess, langkah berani Presiden itu mencerminkan semangat perjuangan asal parti yang mahu memastikan suara dan hak rakyat Sabah kekal bebas daripada pengaruh luar serta seiring dengan prinsip perjuangan politik tempatan.
“Wiramuda sudah bersiap sedia untuk menjadi jentera pilihan raya. STAR Sabah Tamparuli akan mengambil bahagian dalam PRN kali ini bagi memenuhi suara akar umbi sebagai pilihan parti lokal Sabah untuk mewakili mereka di kawasan N14 Tamparuli,” katanya ketika ditemui selepas Perutusan Khas Presiden di Sokid Villa semalam.
Dalam perutusan tersebut, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey turut menekankan bahawa ramai calon muda daripada sayap Wiramuda akan diketengahkan sebagai calon baharu pada PRN akan datang, sebagai usaha memperkukuh suara generasi muda dalam arena politik negeri.
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan kenyataan Presiden Parti di mana ramai calon daripada Wiramuda akan dicalonkan , Jess berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan.
“Itu terpulang kepada Presiden dan kepimpinan parti. Siapa sahaja calon yang dicalonkan di N14, kami Wiramuda Tamparuli akan memberi sokongan penuh dan bekerja keras demi memastikan representasi rakyat Tamparuli menjadi lebih baik.”
Beliau menambah, jentera Wiramuda di Tamparuli kini berada dalam keadaan bersiap siaga dan telah mula menggerakkan kempen kesedaran politik di peringkat akar umbi.
“Kami mahu rakyat melihat bahawa STAR Sabah bukan sekadar parti politik, tetapi wadah perjuangan sebenar rakyat Sabah yang mahu menentukan masa depan sendiri,” ujarnya lagi.
Jess turut menegaskan bahawa semangat perpaduan dan keyakinan dalam kalangan ahli parti semakin meningkat selepas pengumuman Presiden, dan Wiramuda komited untuk membawa mesej perjuangan STAR ke setiap kampung dan pelosok Tamparuli.



