ADVERTISEMENTspot_img

JELAJAH SENI BEAUFORT PERKASA BAKAT TEMPATAN, TEKANKAN BUDAYA TERUS BELAJAR

BEAUFORT: Usaha memperkasa bakat seni tempatan perlu disokong dengan ruang pembelajaran, bimbingan dan perkongsian pengalaman secara berterusan bagi memastikan penggiat seni mampu berkembang seiring perubahan landskap industri kreatif.

Pendekatan itu diterapkan menerusi Jelajah Seni Beaufort anjuran MV Event & Entertainment yang baru-baru ini menganjurkan Bengkel Vokal dan Penjurian Lagu, meliputi skop etnik Sabah dan antarabangsa, sebagai platform mempertemukan penggiat seni berpengalaman dengan bakat baharu.

Pengerusi penganjur, Sylviana Viana Saiki, berkata program berkenaan bukan sekadar memberi pendedahan mengenai teknik vokal dan asas penjurian, sebaliknya bertujuan membina keyakinan serta memperkukuh budaya pembelajaran dalam kalangan penggiat seni.

“Dalam bidang seni, kita tidak pernah sampai ke tahap sudah mengetahui segala-galanya. Walaupun sudah lama berada di pentas, tetap ada perkara yang boleh kita pelajari daripada orang lain.

“Kita mahu mewujudkan ruang untuk peserta belajar, berkongsi pengalaman dan saling memberi semangat,” katanya.

Menurut beliau, interaksi antara generasi muda dan penggiat seni berpengalaman penting dalam membentuk ekosistem seni yang lebih dinamik di Sabah.

“Generasi muda mempunyai tenaga, idea dan perspektif tersendiri, manakala mereka yang lebih berpengalaman mempunyai perjalanan dan pengalaman untuk dikongsikan.

“Apabila kedua-duanya duduk bersama dan saling belajar, di situlah seni kita boleh berkembang,” katanya.

Antara yang mencuri perhatian pada bengkel itu ialah penyertaan Qahirah Maisarah, yang walaupun sudah bergelar artis, tetap mengambil kesempatan untuk mengikuti sesi pembelajaran, mendengar perkongsian dan menerima teguran bersama peserta lain.

Penyertaan itu mencerminkan bahawa proses menimba ilmu dalam bidang seni tidak seharusnya terhenti selepas seseorang mencapai tahap tertentu dalam kerjaya.

Bengkel berkenaan memberi penekanan terhadap teknik vokal, persembahan dan penghayatan lagu, selain asas penjurian termasuk aspek kualiti vokal, ketepatan nada dan tempo, sebutan, penghayatan, penyampaian serta kreativiti.

Peserta turut didedahkan kepada perbezaan antara mendengar sebagai penonton dengan menilai sebagai juri, yang memerlukan ketelitian, kefahaman terhadap aspek persembahan serta pertimbangan yang adil dan objektif.

Majlis perasmian bengkel turut dihadiri Farizah Eded, yang mewakili Datuk Haji Ruslan Haji Muharam selaku wakil perasmi.

Farizah, yang juga Naib Presiden Persatuan Bisaya Beaufort Sabah (PBBS) merangkap Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita PBBS, turut aktif dalam bidang seni sebagai komposer dan penulis lirik menggunakan nama seni EdWidad.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Haji Ruslan Haji Muharam dan Datuk Hajah Siti Aminah Haji Aching atas sokongan terhadap usaha memperkasa bakat seni tempatan.

Kerjasama Sangkulayan Team turut dihargai, khususnya dalam membantu aspek pengurusan dan kelancaran program sepanjang Jelajah Seni Beaufort berlangsung.

Dalam pada itu, tenaga pengajar, khususnya Rhowell Rolland Raymond Pagi, turut diberi penghargaan atas perkongsian ilmu dan pengalaman kepada peserta.

Rhowell bersama Sylviana Viana Saiki telah hampir sembilan tahun terlibat dalam usaha membimbing serta memperkasa bakat seni di Sabah, satu perjalanan yang mencerminkan komitmen berterusan dalam membangunkan generasi baharu penggiat seni negeri itu.

Sylviana berkata kejayaan sesuatu program seni tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah peserta atau kelancaran penganjuran, sebaliknya melalui perubahan yang dibawa pulang oleh peserta.

“Kalau mereka pulang dengan ilmu baharu, lebih yakin, lebih bersemangat atau lebih jelas mengenai hala tuju dalam bidang seni, itu sudah cukup bermakna bagi saya,” katanya.

Beliau berkata Jelajah Seni Beaufort akan diteruskan ke Tenom sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses kepada program pembangunan bakat seni di daerah lain.

“ kita mungkin tidak mampu mengubah dunia seni dalam satu hari, tetapi kalau daripada program ini ada seorang peserta yang menjadi lebih yakin, lebih berilmu dan lebih bersemangat untuk terus berkarya, bagi saya itu sudah satu kejayaan,” katanya.

Jelajah Seni Beaufort memperlihatkan bahawa bakat semata-mata tidak mencukupi untuk membina perjalanan seni yang berpanjangan, sebaliknya perlu disokong ilmu, disiplin, pengalaman dan kesediaan untuk terus belajar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN