29 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 22, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

JEFFREY DIIRING ABIDIN LAKUKAN LAWATAN KERJA KE KPD DAN DESA CATTLE  KUNDASANG

Gambar atas: Jeffrey dan Abidin berpeluang mencabut pokok ubi kentang sambil diperhati oleh Jamilah

RANAU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan diiringi Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir telah melakukan lawatan kerja ke Koperasi Pembangunan Desa dan Desa Cattle Kundasang di sini baru-baru ini.

Kehadiran rombongan ke Koperasi Pembangunan Desa disambut baik oleh Pengurus Projek Cendawan, Jamilah Lee dan Pengerusi Desa Cattle Datuk Yusoff bin Datuk Hj. Mohamed Kasim.

Semasa berada di Koperasi Pembangunan Desa, mereka telah dibawa melawat ke kawasan penanaman cendawan sambil diberikan penerangan tentang jenis produk yang dikeluarkan seperti Cendawan Segar (Shiitake, Tiram dan Telinga Kera), Cendawan kering (Ling Zhi Slices), Ling Zhi Coffee dan Ling Zhi Tea. Selepas itu mereka ke kebun organik untuk melihat dan berpeluang memetik sayuran yang ada dan juga ubi kentang.

Di Desa Cattle, Dr. Jeffrey dan rombongan telah diberikan taklimat ringkas tentang perkembangan tenusu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Desa Cattle sebagai salah satu agro pelancongan yang semakin berkembang maju.

Gambar : Jeffrey dan Abidin (tengah) bersama rombongan dan kakitangan Ladang Tenusu 

Berucap pada majlis ringkas di Desa Cattle, Dr. Jeffrey merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Desa Cattle kerana bukan sahaja berjaya menghasilkan pelbagai  produk berasaskan tenusu tetapi berjaya menjadikan Desa Cattle sebagai salah satu pusat tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

Beliau juga berbangga kerana dengan pencapaian itu secara langsung telah memberi impak positif kepada penduduk setempat dari segi peluang pekerjaan.

 “Ini kali pertama saya berada di sini. Mengikut taklimat, perubahan dan penambahbaikan berterusan yang dilakukan oleh pihak pengurusan terutama dari segi kualiti dan kuantiti pengeluaran hasil tenusu telah berjaya meningkatkan hasil produktiviti sebanyak dua kali ganda berbanding pada awal pembukaan, syabas,” katanya.

“Saya mengharapkan apa yang telah dicapai terus diperkembangkan ke seluruh negeri memandangkan kita mempunyai industri yang masih luas untuk diterokai seperti industri susu, daging dan termasuk penanaman jagung untuk dijadikan makanan lembu-lembu yang ada. Ia boleh dilaksanakan melalui kolaborasi di antara agensi-agensi yang lain dan juga orang-orang tempatan di bandar,” ujarnya.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan sentiasa memberikan kerjasama terhadap keperluan lain seperti kemudahan infrastruktur. Dari segi keluasan yang terhad saya menyarankan pihak pengurusan  adakan kolaborasi dengan penduduk berhampiran bagi tujuan memperluaskan lagi kawasan ladang tenusu ini,” katanya lagi.
 
 
Dalam pada itu, Dr. Jeffrey juga turut memuji pihak pengurusan Koperasi Pembangunan Desa kerana berjaya menjadikan cendawan sebagai salah satu industri yang sedang berkembang maju dan mendatangkan manfaat bukan sahaja koperasi dan negeri bahkan penduduk kampung yang menyertai penanaman dan pemprosesan cendawan sehingga ke peringkat bawah iaitu industri hiliran.

 “Untuk mesin baru pemprosesan cendawan yang belum dapat beroperasi disebabkan masalah bekalan elektrik, saya minta agar pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) dapat mempercepatkan bekalan elektrik ke kilang pemprosesan itu supaya mesin tersebut dapat berfungsi segera,” katanya lagi.
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN