GIMIK….Benedict (bersaraung) menuai padi diiringi yang lain.
RANAU: Jasa bakti, pengorbanan serta sumbangan para pesara dalam kontek pembangunan negara amat dihargai dan disanjung tinggi, kata Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda.
Menurutnya, sumbangan dan pengorbanan para pesara tetap dikenang buat selamanya dan patut dicontohi generasi muda yang masih berkhidmat dalam apa juga bidang yang diceburi.
“Dalam pada itu kepakaran dan ilmu pengetahuan para pesara masih diperlukan untuk membimbing dan menunjuk cara dengan menyumbang idea-idea bernas kepada generasi muda dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan”, jelas Benedict ketika berucap mewakili Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin bagi merasmikan majlis Sambutan Pesta Kaamatan anjuran bersama Pesara Kerajaan Sabah (DCC) dan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PMDC) daerah Ranau di Dewan Mini Kg.Sinarut Baru di sini baru-baru ini.
Menurut Benedict lagi, Persaraan bukan noktah atau penamat komitmen seseorang pesara, sebaliknya bimbingan berterusan kepada generasi muda adalah masih diperlukan kerana pengalaman seseorang pendidik adalah yang terbaik.
Benedict memuji penganjur kerana berjaya melaksanakan majlis yang amat penting itu dengan satu cetusan idea positif dan julungkali dianjurkan bersama oleh dua gabungan persatuan tanpa mengira latarbelakang ahli, selaras dengan tema perayaan “Kaamatan Untuk Semua’.
Turut berucap pada majlis yang dihadiri lebih 200 orang pesara dari kedua-dua persatuan itu ialah, mantan Pegawai Daerah Ranau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Sabah, Prof.Dr. Suhaili Riman dan Pengerusi 5PMDC, Haji Saridih Bin Ahmad.
Majlis diteruskan dengan upacara menuai padi sebagai gimik perasmian dan berakhir dengan penyampaian cenderakenangan kepada perasmi diserikan dengan persembahan kior Kaamatan dan tarian Sumazau oleh mereka yang hadir.



