Jainisah (tengah) diiringi Supian (kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah.
KOTA KINABALU : Jabatan Penerangan Sabah (Japen) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dalam usaha memastikan penyampaian maklumat dan dasar kerajaan sampai secara berkesan ke seluruh pelosok negeri.
Pengarahnya, Jainisah Mohd Noor berkata kejayaan pelaksanaan program seperti Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 adalah hasil hubungan kukuh antara jabatan itu dengan rakan strategik di pelbagai peringkat.
“Majlis ini bukan sekadar tanda penghargaan, malah menjadi platform menilai pencapaian bersama dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif komunikasi kerajaan sepanjang tahun ini,” katanya pada Majlis Apresiasi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, pada Jumaat.
Program KMJG 2025 yang berlangsung selama 20 hari mencatat kejayaan apabila berjaya menjelajah sejauh 2,500 kilometer dengan 75 hentian, termasuk ke kawasan pedalaman dan pulau seperti Pulau Banggi, hasil kerjasama erat bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Program ini menjadi wadah kita menyantuni rakyat di setiap pelusuk negeri, menyemarakkan semangat patriotisme serta menyahut tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jainisah turut mengulas Bajet 2026 yang menyaksikan peruntukan untuk Sabah meningkat daripada RM6.8 bilion kepada RM6.9 bilion.
“Kita berharap peningkatan ini akan terus memperkukuh pembangunan negeri serta meningkatkan keharmonian rakyat Sabah,” tambahnya.
Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan menyalurkan bantuan khas RM500 kepada penjawat awam dan bantuan one-off RM100 melalui MyKad, yang disifatkan membantu dalam mengurangkan beban kos sara hidup.
“Kita amat menghargai keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam. Bantuan ini sedikit sebanyak membantu dalam urusan harian,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Proton Shirba 3S Auto World Sdn. Bhd., Lizawati Lassim; Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin; Pengarah Kanan SKMM Wilayah; Pengurus Besar TM Sabah, Sahrimin Mohd Iman dan Kolonel Saiful Nizam Che Soh mewakili Lima Divisyen Kem Lok Kawi, serta wakil agensi persekutuan dan negeri./Penerangan