25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 9, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

JANS LAKSANA CATUAN BERJADUAL, PERMINTAAN BEKALAN AIR MELEBIHI JUMLAH PENGLUARAN AIR TERAWAT

Oleh: Jaafar Abd.Wahid

KOTA KINABALU : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah melaksanakan catuan berjadual kepada pengguna di beberapa kawasan utara Kota Kinabalu bagi memberi laluan bekalan air kepada penduduk terjejas.

Setiausaha Perhubungan Awam Kepada Timbalan Ketua Menteri 1 Alfian Sambas (gambar) berkata, ia berikutan permintaan bekalan air semasa di kawasan Kota Kinabalu melebihi 30 peratus daripada jumlah pengeluaraa air terawat yang dibekalkan kepada pengguna.

Katanya, disebabkan pengeluaran dari LRA tersebut tidak dapat menampung permintaan semasa, catuan bekalan air terpaksa dilaksanakan disamping penghantaran air melalui tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas teruk.

“Jumlah pengeluaran agihan bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1 dan 2 ialah 164 JLH namun kekurangan sebanyak 49 JLH (30%) memberikan kesan yang besar kepada pengguna bekalan air di kawasan tersebut.

“Walaupun pengeluaran air semasa LRA Telibong 1 dan 2 telah melebihi rekabentuk kapasiti asal 144 JLH kepada 164 JLH, tetapi pengeluaran bekalan air masih tidak dapat menampung permintaan penguna sejak dari tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan disini hari ini sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai Datuk Yakub Khan dalam sebuah protal on-line yang meminta Pengarah JANS meletakkan jawatan jika tidak serius menangani masalah air khususnya di kawasan Sepanggar.

Menurut Alfian ekoran dari itu, tindakan penyelesaian serta merta JANS telah menyediakan dua buah lori tangki air Jabatan yang berkapasiti 13,000 liter dan khidmat lori tangki swasta sebanyak 5.3 Juta liter.

Katanya, lori berkenaan akan mengagihkan bekalan air kepada para pengguna di kawasan kritikal seperti klinik, sekolah, dan tangki statik yang telah disediakan oleh pihak pengurusan perumahan.

Menurut beliau Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Dato Sri Bung Moktar Radin memandang seriuas perkara ini dan pelbagai langkah jangka panjang dan pandek telah dibincangkan dengan JANS bagi menangani perkara ini.

“Selain itu, JANS turut melaksanakan beberapa tindakan penyelesaian jangka pendek bagi memastikan bekalan air di beberapa kawasan di utara Kota Kinabalu sentiasa mencukupi.

“Antaranya, cadangan pembinaan UWSS LRA Telibong 1, Tamparuli oleh JETAMA Sdn Bhd Sebanyak 5 JLH dimana mereka telah melantik kontraktor pelaksana dan projek ini dijangka siap September 2022,” katanya

Katanya, selain itu tindakan lain JANS juga meliputi cadangan pembinaan ‘Urgent Water Supply Scheme’ (UWSS) LRA Telibong II, Tamparuli sebanyak 10 JLH dan projek ini dijangka dapat dilaksanakan pada bulan September 2022 ini seperti yang dirancang.

Tambahnya, JANS dalam masa yang sama sedang menyelaraskan permohonan-permohonan pihak-pihak swasta yang berpotensi dan berpengalaman dalam pengeluaran air terawat.

“ Selain itu masalah air khususnya di kawasan Sepanggar dan sekitarnya dijangka akan dapat di atasi apabila projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2023” tambah Alfian.

Dalam pada itu, Alfian berkata, masalah kekurangan bekalan air ini juga bertambah teruk dengan adanya aktiviti penyambungan haram yang berleluas di beberapa kawasan setinggan.

Katanya, antara kawasan yang sering membuat sambungan haram termasuklah di Kampung Tebobon Baru, Kampung Delima, Kampung Brunei, Kampung Sepakat Baru, Kampung Suang Parai, Kampung Pulau Penampang, Kampung Lokub, Kampung Gentisan, Kampung Numbak dan kawasan sekitar Sepanggar, yang di ramalkan lebih dari 6 JLH.

“Justeru itu, JANS turut melaksanakan pengawalan aktiviti penyambungan haram dan kecurian air bersepadu bersama agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK); Jabatan Tanah Ukur (JTU); Polis; Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Rela selain pemimpin setempat.

“Pihak jabatan khususnya turut mempergiat usaha dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyambungan haram dan kecurian aset JANS,” katanya.

Sementara itu, Alfian berkata, hujan lebat di beberapa kawasan di pantai barat Sabah turut menjejaskan agihan bekalan air di kawasan liputan LRA Telibong 1 dan 2 dimana air tidak dapat diproses kerana terlalu keruh.

Katanya, antara kawasan terjejas Universiti Utara Condominium, Universiti Condominium Apartment 2, Biz Hub/Grand Merdeka Mall di Bandar Seirra, Putera Perdana Telipok, Putera Jaya, Tobobon Bukit, Kg Rakyat Baru. (Tobobon), Kg Kaliangau (Manggatal), Pusat Tahanan sementara, Kg Dato, Kg Muhibbah, Taman Wangsa Maju, Taman Putera Mas, Bakti Iklas perumahan dan Bukit Sepanggar/Indah Permai.

Manakala di Kg Malawa, Taman Malawa Jaya, Perumahan Jaya Diri, Perumahan Bukit Setia, Perumahan Seri Gayang dan sebahagian KKIP Selatan turut mengalami gangguan agihan air.

CAPTION:

A. ALFIAN SAMBAS- Setiausaha Perhubungan Awam Timbalan Ketua Menteri/Menteri Kerja Raya.

B. AMBIL PERHATIAN…Bung selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap JANS turun padang bersama Pengarah dan kakitangan JANS melawat Loji Penapis Air Telibong 2 yang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap tahun 2023

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN