GAMBAR: Longgokan sampah di salah satu tong sampah sekitar Pekan Ranau.
RANAU: Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama agar tidak memburukkan lagi keadaan dengan membuang sampah di kawasan Pekan Ranau dan Kundasang.
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Jupirin Haji Ruhimin, berkata pihaknya (MDR) ketika ini berdepan masalah dan cabaran untuk membawa lori sampah (kompaktor) ke tapak pelupusan selepas jalan utama berhampiran Riverside Mart, terputus sejak Rabu lalu.
“Cabaran utama dalam situasi ketika ini
dimana jambatan menyeberangi Sungai Takurik hanya boleh dilalui kenderaan berat dengan kapasiti 5 tan sahaja, sedangkan lori kompaktor MDR berkapasiti 8 tan tanpa muatan.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyediakan lencongan menyebarang Sungai Takurik, tetapi cabaran seterusnya ialah lori kompaktor tidak dapat melalui Jalan Sinarut Baru – Tagudon Baru kerana terhalang dengan kabel-kebal elektrik rendah yang merentasi jalan raya di kawasan itu.
“Disamping itu, lori kompaktor juga tidak dapat melalui jalan yang dipasang dengan pagar penghalang binatang di sempadan Kg.Sinarut Baru dan Kg Tagudon Baru” katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.
Jupirin menjelaskan, sementara waktu, MDR terpaksa menggunakan beberapa lori kecil dengan muatan yang amat terhad untuk mengurangkan masalah longgokan sampah di kawasan perkadaran terutama pekan Ranau dan Kundasang secara beransur-ansur.
“Lori MDR hanya beroperasi di antara jam 3.00 pagi sehingga jam 6.00 pagi kerana keadaan trafik mulai sibuk selepas itu.
“Sehubungan itu, orang ramai diharap memahami setuasi ini dan bersabar untuk sementara waktu,” kata Jupirin.
Jupirin pada masa yang sama menyarankan penduduk di daerah ini mengamalkan kitar semula bahan buangan untuk kegunaan sendiri atau dijual, manakala sisa makanan atau bahan mudah reput diproses menjadi baja kompos dan sebagainya.
Selain itu, untuk mengelakkan berlakunya longgokan sampah dalam kawasan pekan, Jupirin meminta orang ramai yang mempunyai kenderaan supaya menghantar sendiri sampah masing-masing ke tapak pelupusan.