29.5 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 27, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

James Ratib ketuai jentera BN Sugut bantu kempen PRN Johor

SIAP SEDIA….James bersama jentera kempen BN dari DUN Sugut di Cawangan Bakawali dalam kawasan DUN N.42 Johor Jaya.

JOHOR BAHRU: Walaupun lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Sugut terletak jauh di Parlimen Beluran, Sabah, namun semangat kesetiaan kepada parti Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak pudar sama sekali bagi mempastikan kemenangan berpihak bepada calon-calon yang mewakili parti itu dalam Pilihanraya Umum Negeri (PRN) Johor Ke-15.

Untuk mencapai misi itu, sekumpulan 10 orang jentera Barisan Nasional (BN) dari kawasan Dun Sugut diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib telah turun padang ke negeri Johor pada Sabtu bagi membantu gerak kerja kempen calon Barisan Nasional (BN).

Datuk James Ratib dalam satu kenyataan berkata, kumpulannya diberikan tanggungjawab berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Johor Jaya Timur dalam DUN N.42 Johor Jaya dimana beliau akan menjaga dua cawangan merangkumi Cawangan Dedap Johor Jaya dan Bakawali.

James bertemu dengan Datuk Seri Panglima Bung Mokhtar Radin di Kerusi DUN N.42 Johor Jaya.

“Saya difahamkan, kedua-dua lokasi ini merupakan kubu kuat Parti DAP dimana terdapat sekitar 4,747 orang pengundi berdaftar ketika ini. Sudah tentu ia memberikan cabaran sengit dalam siri kempen kami”. Jelasnya.

Bagaimanapun katanya, beliau bersama jenteranya akan memberikan kerjasama padu kepada semua petugas kempen BN yang ada dikawasan berkenaan untuk mempastikan kemenangan berpihak kepada calon BN.

James turut menambah, tiga orang pemimpin utama dari kawasan Dun Sugut turut bersama beliau iaitu Jalil Atang, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Kamri Guntalou, Penyelia Kemajuan Masyarakat dan Justinus Jalang, Pemaju Mukim Dun Sugut.

Katanya, beliau membawa para pemimpin itu untuk diberi pendedahan mengenai rentak pilihanraya di negeri itu bagi persiapan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 akan datang.

“Rentak PRN Johor kali ini agak berbeza kerana pengundi muda berusia 18 tahun keatas sudah dibenarkan mengundi. Ia sudah tentu memberi suatu pengalaman baru untuk dinilai arah sokongan mereka”. Tegasnya lagi.

Dalam pada itu, James juga yakin para pengundi di PDM Johor Jaya Timur boleh membuat pertimbangan sewajarnya untuk memilih calon daripada BN kerana mereka telah menilai sepenuhnya kewibawaan pemimpin dalam parti itu.

Jelasnya, isu-isu yang bakal diketengahkan dalam kempen kali ini hanya berkaitan dasar-dasar kerajaan yang membawa kebaikan rakyat dan tidak akan menyentuh sama sekali isu-isu sensitif yang boleh mencemarkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Kerusi Dun N.42 Johor Jaya diwakili oleh calon BN, Chan San San daripada Malaysia Chinese Association (MCA) dan di cabar tiga calon lain iaitu Victor Chen Hain Kai, Parti Warisan Sabah, Liow Cat Tung, Pakatan Harapan (PH) dan Dr. Ker Ching Sheng, Perikatan Nasional (PN). Keseluruhan pengundi berdaftar di Dun ini seramai 91,882 orang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN