Datuk James ketika berucap merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Paitan, di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Paitan, pada Ahad.
PAITAN: Masyarakat Islam di daerah Paitan diseru supaya bersatu padu dan menolak sebarang bentuk fitnah yang boleh menjejaskan usaha pembangunan kerajaan di kawasan itu.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata, dalam era digital masa kini, media sosial sering menjadi medium utama penyebaran maklumat, namun masyarakat perlu berwaspada dengan propaganda pihak tidak bertanggungjawab.
“Fitnah ini bukan sahaja mampu memecahbelahkan masyarakat, malah boleh menjejaskan agenda pembangunan kerajaan di Paitan. Saya mengajak seluruh masyarakat Islam agar bersama-sama menangkis propaganda negatif dan terus memberi sokongan kepada usaha membangunkan daerah ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Maal Hijrah peringkat Daerah Paitan, hari ini.
Beliau berkata kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung kepada jumlah, sebaliknya kepada ukhuwwah dan persaudaraan yang terjalin, selain hubungan harmoni dengan masyarakat bukan Islam.
“Semangat kebersamaan ini adalah asas Ummah Madani, iaitu masyarakat yang harmoni, saling menghormati dan bersama-sama membangunkan Paitan,” katanya.

KENANGAN..Datuk James Ratib (tengah) bergambar bersama Imam-imam dan jawatankuasa penganjur majlis sambutan Maal Hijraah daerah Paitan 2025.
Dalam pada itu, Datuk James memaklumkan kerja-kerja membina semula Masjid Daerah Paitan yang sebelum ini terbengkalai kini sedang giat dijalankan dan bakal menjadi mercu tanda baharu kebangkitan Islam di daerah tersebut.
Selain itu, kerajaan melalui agensi berwajib turut merancang pembinaan lebih banyak masjid dan surau di kawasan itu bagi memberi kemudahan kepada umat Islam menunaikan ibadah serta berperanan sebagai pusat penyatuan ummah dan pendidikan.
Mengulas mengenai pembangunan daerah, beliau berkata penaiktarafan Paitan daripada daerah kecil kepada daerah penuh tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk membawa pembangunan yang lebih menyeluruh dari segi prasarana, pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Namun segala perancangan ini tidak akan berjaya tanpa dokongan masyarakat setempat. Oleh itu, saya menyeru warga Paitan agar terus bersatu hati, menyokong usaha pembangunan serta menjauhi pengaruh negatif,” katanya.
Datuk James menzahirkan harapan agar sambutan Maal Hijrah kali ini menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing seiring dengan daerah lain di Sabah
Sementara itu, sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Paitan pada tahun ini turut meraikan tiga tokoh yang diberi penghormatan atas sumbangan mereka kepada masyarakat dan pembangunan ummah.
Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Paitan dianugerahkan kepada Tuan Guritom bin Nanau, manakala Anugerah Khas Srikandi Hijrah diberikan kepada Puan Suhana binti Udin. Sementara itu, Anugerah Khas Imam As Syafie disampaikan kepada Haji Marten bin Ahieng.
Pengiktirafan itu mencerminkan penghargaan terhadap usaha serta dedikasi mereka dalam memartabatkan nilai keagamaan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di daerah Paitan.



