33 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mei 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

JAMES BAGA: KENYATAAN VARIAN DELTA TERKESAN DI SABAH MENGELIRUKAN


 

KOTA KINABALU: Pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung dengan penemuan varian Delta di Kota Belud Sabah telah menimbulkan persoalan di kalangan rakyat khususnya penduduk yang tinggal daerah Kota Belud.

Presiden Pertubuhan  Hal Ehwal Dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Baga, berkata ini kerana pada masa yang sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kes varian Delta di kesan di negeri ini setakat 10 Ogos lalu.

Katanya, kenyataan dari kedua belah pihak yang bercanggah ini jelas membuktikan bahawa tidak ada kordinasi dan penyelarasan bersepadu di antara KKM dengan kerajaan negeri sehingga menimbulkan tanda tanya mana satu kenyataan yang sahih dan boleh dipercayai.

“Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana selain menimbulkan kesangsian rakyat terhadap data-data yang dilaporkan.

“Ianya juga secara tidak langsung menjatuhkan imej dan prestasi kedua-dua pihak yang telah dipertanggungjawabkan memerangi penularan Covid-19 yang telah mengorban puluhan ribu nyawa penduduk Malaysia,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.

James berkata, penemuan Varian Delta Covid-19 ini merupakan ancaman besar pada negara kerana ianya Varian yang paling dominan dan sudah dikategorikan sebagai Varian yang Membimbangkan (VOC) disamping varian Beta dan Alpha.

Menurutnya, peningkatan kes covid-19 yang kini sudah menjangkau 20,596 setakat 10 Ogos di seluruh negara bukan sahaja membimbangkan malah sudah ditahap kritikal yang boleh melumpuhkan negara.  Penganalisa perubatan menjangkakan angka ini akan terus meningkat.

“Peningkatan drastik kes Covid-19 di Sabah yang sudah mencecah 1,383 dalam tempoh sama telah meletakkan hampir keseluruhan kawasan dalam negeri ini dikategorikan sebagai zon merah. 

“Dalam saat-saat genting sekarang ini, rakyat mahu semua lapisan pemimpin samada di blok kerajaan ataupun pembangkang mengenepikan soal-soal politik disebaliknya berganding bahu menumpukan perhatian yang khusus mencari formula dalam memerangi pandemik yang melanda negara,” gesanya.

Sementara itu, dalam hal berkaitan, CAPS mengalu-alukan pengumuman kerajaan berhubung dengan kelonggaran merentas daerah dan negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh yang sudah menerima dua dos vaksin.

Menurut James, kelonggaran ini tentunya dapat memperkasakan institusi kekeluargaan namun perlu ada pemantauan yang ketat dari pihak penguatkuasa untuk mengelak daripada terjadinya penyalahgunaan kelonggaran yang diberikan ini.

“Kita perlu mengambil iktibar dari pangalaman yang lalu dimana berlakunya lonjakan penularan Covid-19 selepas sahaja kelonggaran SOP diumumkan.

“CAPS menyeru masyarakat pengguna khususnya di negeri ini agar sentiasa waspada dengan keadaan-keadaan semasa dan tidak alpa dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana virus Covid-19 berada di mana-mana. Lakukan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan melandaikan lengkung penularan wabak Covid-19 di negara kita yang semakin parah.

Kejayaan negara memerangi pandemik ini memerlukan kerjasama semua pihak dan bukannya terletak dibahu kerajaan semata-mata,” tambah James.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN