SUGUT: Rakyat disekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Sugut perlu menghayati erti kemerdekaan Negara Malaysia dan Negeri Sabah dengan memberikan sokongan melalui pengibaran bendera Malaysia dan Negeri Sabah sempena Bulan Kemerdekaan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut, Datuk James Ratib berkata, penghayatan rakyat terhadap hari bersejarah itu penting agar semangat patriotisma dan jati diri mereka untuk lebih menghargai erti keamanan dalam kemerdekaan dapat diterapkan.
Katanya, melalui pemasangan bendera Malaysia dan Negeri Sabah dikawasan perumahan dan premis-premis perniagaan, ia merupakan suatu nilai penghayatan yang bermakna sebagai warganegara Malaysia yang hidup dalam suasana aman damai dan harmoni selepas kemerdekaan.
“Saya menyeru semua rakyat di Dun Sugut memberikan sokongan padu untuk menyemarakkan erti kemerdekaan pada bulan Ogos ini dimana kita bakal menyambut Hari Kebangsaan pada hujung bulan nanti. Hargai keharmonian sesuai dengan slogan Keluarga Malaysia yang di ilhamkan Perdana Menteri kita”. Jelasnya.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah menjelaskan, sebagai pemimpin dikawasan itu,beliau akan terus mempertingkatkan usaha memerdekakan rakyatnya dengan pembangunan sejagat yang sesuai khasnya infrastruktur pendidikan, kesihatan dan pertanian.
Jelasnya, Daerah Kecil Paitan diharap menjadi sebuah daerah penuh dan kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan itu sebagai hadiah sempena hari kemerdekaan negara dan negeri Sabah agar rakyat dikawasan terpencil itu mampu menikmati pembangunan lebih maju lagi.
“Sudah genap 65 tahun negara Malaysia merdeka manakala di Sabah pula genap 59 tahun. Saya berharap, daerah kecil Paitan menjadi realiti untuk berubah status kepada daerah penuh sebagai hadiah kepada rakyat pedalaman kawasan itu untuk terus merancakkan lagi pembangunan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini”. Tegasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.