TINJAU… Haji Ruslan (dua, kiri) bersama Azmir Abd. Razak(dua, kanan) berada di lokasi jalan raya yang dinaiki air, di sebuah kampung dalam kawasan DUN Lumadan, kelmarin.
BEAUFORT: Jabatan Kerja Raya (JKR) Beaufort akan menyelanggara dan menaik taraf empat lokasi jalan raya di kampung Suasa manakala dua lagi lokasi di Kampung Bangkalalak dengan kadar segera agar penduduk kampung dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Hj Ruslan Muharam berkata, jalan raya di kedua-dua kampung ini perlu diselanggarakan dan dinaik taraf iaitu dengan menambah ketinggian jalan raya sehingga satu meter agar tidak dinaiki air, lebih-lebih lagi di musim hujan yang berpanjangan ketika ini.
“Akibat daripada jalan yang dinaiki air, penduduk kampung tidak dapat melaluinya, serta terputus hubungan dan juga bekalan makanan,” katanya semasa membuat tinjauan di kawasan kampung terbabit yang dilanda banjir.
Tinjauan itu dilakukan bersama dengan Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Supritenden Azmir Abd. Razak serta pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“ Musim hujan dijangka akan berterusan sehingga hujung Januari Ini, “kata Ruslan.
Sebelum ini Hj. Ruslan bersama Jurutera Daerah JKR Beaufort bersama-sama meninjau ke beberapa lokasi jalan yang dinaiki air.
“Bagi perancangan strategik jangka masa panjang, pihak JKR akan menaiktaraf ke semua jalan di kawasan Dewan Udangan Negeri (DUN) Lumadan terutamanya kawasan jalan yang sering dinaiki air dengan menaikkan ketinggian jalan sehingga satu meter dari jalan asal.
“Saya turut memohon supaya jalan Gadong di kampung Lubak yang panjangnya 100 meter akan di selenggarakan dengan menambah ketinggian jalan raya,” katanya.
Dalam pada Itu, seramai 4,455 ketua keluarga dari 47 kampung di DUN itu telah menerima bantuan keperluan asas makanan daripada Pejabat DUN Lumadan.
Kata Hj Ruslan, pihaknya akan berusaha untuk menghulurkan bantuan keperluan asas makanan kepada mangsa banjir.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak masing-masing agar tidak bermain di kawasan yang dinaiki air.
Hj. Ruslan juga menyeru agar rakyat di DUN Lumadan untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sedang berkuatkuasa.