Ghani menerima pelbagai surat permohonan dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat kampung selepas sesi dialog.
NABAWAN: Jalan-jalan balak di daerah ini telah disyorkan kepada kerajaan negeri agar diambil oleh Jabatan Kerja Raya bagi membolehkan ia diselanggara dan dinaiktaraf.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, beliau telah menyuarakan beberapa kali perkara ini kepada kerajaan negeri.
“Saya juga telah membawa perkara ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah” katanya.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) demikian bagi mengulas isu jalan raya yang dibangkitkan oleh penduduk Kampung Ponontomon pada Majlis Santai Bersama Rakyat di Kampung Panarakan Ponontomon Nabawan pada Sabtu.
Penduduk kampung itu mahu supaya jalan raya balak dinaiktaraf kerana sudah sekian lama mereka berhadapan dengan masalah jalan licin dan berlumpur pada musim hujan serta berhabuk pada musim kemarau.
Ia disuarakan oleh seorang penduduk Ulou Kolou pada sesi dialog pada majlis itu.
Dalam sesi dialog itu, Ghani berkata, beliau akan terus menyuarakan isu yang berlanjutan ini kepada kerajaan negeri sehingga ada penyelesaian.
Menjawab isu pembalakan yang beroperasi di sekitar kampung itu Ghani berkata, kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) telah diluluskan kepada syarikat berkenaan oleh kerajaan negeri yang lalu.
Katanya, mengikut perundangan TOL mereka (syarikat ) tidak boleh dibatalkan kerajaan sekarang sebelum tempohnya tamat.
“Walau bagaimanapun sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya bersama jabatan-jabatan yang berkaitan dalam beberapa siri mesyuarat Penggunaan Tanah Daerah (LUC) telah memutuskan bahawa TOL pembalakan yang berhampiran di kawasan kampung itu termasuk kampung lain dan tadahan air tidak dilanjutkan” jelasnya.
Tegas Ghani, beliau tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang akan memohon pelanjutan TOL di kawasan yang berhampiran dengan kampung yang bakal dipohon oleh penduduk.
Selain isu jalan raya dan TOL Pembalakan, turut dibangkitkan oleh penduduk pada sesi dialog itu adalah projek-projek yang lain seperti permohonan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kemudahan-kemudahan lain seperti pembalikan rumah kebudayaan dan bekalan air graviti.
Ghani berkata, bagi perkara ini pemimpin-pemimpin masyarakat seperti Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu mengemukakan surat permohonan kepada pihak yang berkenaan dan salinan kepada beliau supaya ada rujukan dari masa ke semasa.
Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai, Ketua Daerah Nabawan Ulin Datuk Pamiang, Penolong Pegawai Pembangunan Daerah (ADDO) Nabawan Jabat Majilon dan staf Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Nabawan.