Kerja-kerja pembaikan jalan dikendalikan atas pemantauan JPKK.
RANAU: Usaha dan keprihatinan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin membantu menyediakan dana berjumlah RM30 ribu untuk membaiki jalan yang menjadi laluan utama penduduk dari tiga buah kampung di sini amat dihargai warga Kg.Toporoh, Kg.Soborog dan Kg.Lungkidau.
Penduduk kampung terlibat menarik nafas lega apabila jalan sejauh 12 kilometer itu yang mengalami kerosakan mendapat perhatian untuk dibaiki.
Pegawai Pemantau Projek Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, Dominik Kasuman berkata, kerja-kerja membaiki kerosakan jalan tersebut sedang dilaksanakan.
Menurut Dominik, perlaksanaan projek tersebut dipantau Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Kg.Soborong.
“Pihak pelaksana projek sudah menerima RM15 ribu kos pendahuluan dan RM15 ribu lagi akan mereka terima selepas proses penyiapan projek tersebut.
“Kerja-kerja berjalan dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan dan siap sepenuhnya tidak lama lagi,” kata Dominik.
Mewakili Jonathan, Dominik mengharapkan kepada ratusan pengguna jalan tersebut supaya memanfaatkan jalan yang sudah dibaiki itu untuk laluan ke kawasan pertanian mereka, terutama ke kebun kelapa sawit dan mengelakkan daripada menggunakan jentera berat membawa muatan berlebihan.
Tambah Dominik, Jentera berat dengan muatan berlebihan akan merosakkan jalan yang baru dibaiki .
Pengerusi JPKK Kg.Soborong, Jaliwot Bin Doukim mewakili penduduk ketiga-tiga buah kampung merakam penghargaan dan terima kasih kepada Jonathan.