TINJAU….. Jahid meninjau lalaun titian di Kampung Kauluan yang rosak akibat banjir.
TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim membuat lawatan ke beberapa kawasan di Tamparuli yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh hari ini.
Ianya bagi meninjau keadaan terkini banjir dan tanah runtuh seperti mana dilaporkan kepada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Kecil Tamparuli dan pemimpin di kawasan terbabit bencana.
Lawatan itu juga bagi mengenal pasti mana-mana kerosakan yang memerlukan perhatian dan pembaikan segera pihak-pihak berkaitan antaranya termasuklah sistem perparitan, jambatan, sawah padi dan sebagainya.
Antara kampung yang dilawat hari ini termasuk Kampung Nohirot, Kauluan, Gomirong, Telibong, Bontoi, Mangkaladoi, Topokon, Rongolis, Lapasan, Tenghilan, Tinuhan dan Wangkod.
Sebelum itu, Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli melawat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Tun Hamdan Tamparuli yang menempatkan seramai 38 mangsa banjir membabitkan 9 keluarga.
Secara keseluruhan, Jahid berpuas hati dengan gerak kerja jawatankuasa itu yang diaktifkan mulai kelmarin.
“Mungkin pada masa-masa akan datang, kita boleh bantu beri panduan kepada para mangsa banjir supaya berpindah ke PPS demi kebaikan mereka dalam semua segi,” katanya.
Jahid turut menghargai usaha semua pihak yang bertungkus-lumus membantu menyediakan segala keperluan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) demi keselesaan semua mangsa banjir.
“Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tuaran, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, RELA, PDRM, ATM, Pejabat Daerah Tuaran, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, UPPM, badan NGO dan sukarelawan serta semua yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung,” katanya.
Turut hadir melawat kawasan terbabit ialah Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan beberapa ketua-ketua jabatan.