25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jackson Musi terima kekalahan dengan tenang, tegaskan perjuangan di Kundasang belum berakhir


KUNDASANG: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Kundasang, Jackson Musi, menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 dengan penuh keterbukaan sambil menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan suara rakyat meskipun tewas dalam saingan tersebut.

Dalam kenyataan rasminya, Jackson berkata beliau menghormati setiap undi yang diterima dan menyifatkan keputusan itu sebagai suara rakyat yang wajib dipandang serius.

“Saya menerima keputusan Pilihan Raya N36 Kundasang ini dengan hati yang terbuka dan penuh hormat. Setiap undi dan setiap suara, sama ada memilih atau tidak memilih saya, adalah suara rakyat yang saya junjung dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Beliau menegaskan kempen yang dibawanya bukan berteraskan janji kosong, sebaliknya berasaskan prinsip dan integriti untuk melihat Kundasang berkembang dengan lebih bermaruah.

“Saya tidak menawarkan apa-apa untuk membeli hati sesiapa. Saya hanya membawa prinsip dan hasrat untuk perubahan. Jika perjuangan jujur ini belum cukup untuk menyokong majoriti hari ini, saya menerimanya dengan tenang,” katanya sambil menambah bahawa perjuangan tidak berakhir di kotak undi.

Jackson turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Ulu Sugut dan Zon Garas yang digambarkan sebagai “nadi perubahan”, selain berterima kasih kepada para penyokong di Kundasang, Pinosuk dan Bundu Tuhan.

“Agayooo konsikahan kumaaa dikoyu,” katanya dalam ucapan penghargaan kepada masyarakat tempatan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan jentera PRN17 Kundasang serta anak muda yang membantunya sepanjang kempen, selain mengucapkan terima kasih kepada keluarganya yang sentiasa menyokong perjuangannya.

“Perjuangan ini tidak akan berhenti. Saya akan terus melangkah, terus berkhidmat dan terus membawa suara rakyat,” katanya.

Pada PRN17, Jackson meraih 3,609 undi, tewas kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Dr. Joachim Gunsalam, yang memperoleh 4,609 undi dengan majoriti 1,031.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN