BENGKEL….Mohd Nizam mengendalikan bengkel Tatacara Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan
Oleh:Jainudin Djimin
LABUAN: Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Bengkel Tatacara Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan sebagai usaha meningkatkan tahap Kompentensi dalam kalangan pegawai dan Anggota Khidmat Pelaksana (AKP).
Program di bawah kelolaan Sektor Sumber Manusia (SSM) itu telah diadakan di Bilik Kiamsam, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan di Sungai Lada, pada Rabu.
Seramai 20 peserta yang terdiri daripada 10 pegawai dan 10 AKP yang mewakili semua sector jabatan menyertai bengkel sehari itu.

TERBAIK…. Ustaz Syahir Mohamad Yusof (tengah) dipilih sebagai peserta terbaik sepanjang bengkel dijalankan menerima sijil daripada Mohd Nizam sambil diperhatikan Nurul Ain.
Menurut penyelaras program Nurul Ain Hamdan, bengkel tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi pegawai dan AKP dalam urusan urusan berkaitan dengan penulisan dokumen rasmi.
“Terdapat tiga elemen penting yang diterapkan dalam bengkel kali ini iaitu penulisan surat rasmi, minit mesyuarat dan laporan berita.
“Kita berharap agar semua pegawai dan AKP dapat mematuhi surat-surat pekeliling dan arahan-arahan semasa yang dikeluarkan oleh MAMPU dan Arkib Negara Malaysia dalam menjalankan tugas” katanya.
Beliau yang juga Penolong Pengarah di SSM berkata, bengkel berkenaan itu telah dikendalikan sepenuhnya oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Labuan, Mohd Nizam Yasin.

PESERTA….Bengkel Tatacara Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan bergambar bersama Mohd Nizam (baris belakang tengah)
Dalam bengkel tersebut, Mohd Nizam menegaskan bahawa semua penjawat awam perlu mengetahui dan mematuhi peraturan-peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa dalam menjalankan tugas.
“Rujukan yang dibuat juga mestilah daripada sumber yang autentik dan sahih yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berautoriti seperti MAMPU, DBP dan ARKIB.
“Penulisan dokumen terutamanya surat rasmi yang betul dan tepat dari segi format dan ejaan dapat memberi imej yang baik kepada sesebuah organsasi” katanya.