28.2 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Isu gender lebih kepada mengangkat nilai kemanusiaan: James Ratib


KOTA KINABALU: Topik berkenaan Gender melibatkan hal yang lebih besar dari sekadar jantina, dan ianya berbeza dengan perkara pertama yang selalu muncul di fikiran apabila membicarakan tentang isu berkenaan.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, gender dalam erti kata mudah adalah keperluan yang berbeza bagi wanita dan lelaki termasuk juga golongan kanan-kanak, orang tua dan Orang Kurang Upaya.


“Perjuangan dalam melawan ketidakadilan sosial di dunia merupakan sebuah jalan yang panjang dan berliku. Isu kesaksamaan gender hanyalah merupakan salah satu aspek dalam mengangkat nilai kemanusiaan yang lebih tinggi.


“Cara pandang masyarakat tentang kesaksamaan gender wajar diperluaskan. Kesaksamaan bukanlah bermaksud setiap orang lelaki dan wanita mempunyai hak dan keperluan yang sama rata semata-mata.


“Asasnya, pengkelasan berdasarkan gender dan status itu adalah perlu bagi melihat segala keperluan dengan lebih terperinci. Impaknya, masyarakat dapat mengecapi kebaikan Bersama,” katanya.


James berkata, KPMKR melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah telah rancak melaksanakan Program Pembangunan Kumpulan Pakar Gender sejak tahun 2021 lagi.


Tambahnya lagi, hal berkenaan gender ini adalah asas kepada pembangunan negara demi mencapai matlamat kesaksamaan gender dan mendaya upaya wanita.


“Strategi ini untuk memastikan agar kepentingan dan pengalaman golongan wanita dan lelaki dijadikan dimensi asas dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian dasar dan program dalam kesemua bidang seperti politik, ekonomi, dan sosial agar wanita dan lelaki menerima manfaat secara saksama, dan ketidaksamaan dapat dihapuskan.


“Oleh yang demikian, usaha KPMKR melalui JHEWA adalah adalah bertepatan dengan melahirkan lebih ramai pakar Gender di Sabah,” kata beliau.


James menambah, pelbagai inisiatif dan program di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilaksanakan dan tindakan yang berterusan bagi merapatkan jurang gender melalui inisiatif yang diambil, sama ada melalui kementerian, jabatan mahupun agensi terlibat.


Beliau yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pentauliahan Train the Trainer Sabah Gender Focal Points Kumpulan 2 yang diadakan di Hilton Hotel, Kota Kinabalu pada hari Isnin.


“Kesungguhan yang kita tunjukkan dalam menjayakan Pentauliahan Train the Trainer ini akan menjadi titik permulaan kepada lebih ramai lagi penyertaan jurulatih Gender akan datang.


“Saya berharap JHEWA sentiasa mengorak langkah untuk melatih lebih ramai jurulatih Gender di Sabah dan menyerbarkan kesedaran gender.


“Saya juga mengharapkan program Train the Trainer Gender ini akan menjadi satu kaedah dalam peningkatan prestasi kerja, penyaluran kepakaran, juga menjadi satu kaedah latihan yang diberi keutamaan dan pengiktirafan tinggi oleh semua Kementerian dan Jabatan.


“Besarlah harapan saya agar para Jurulatih yang ditauliah akan sentiasa menyumbang tenaga kepada Jabatan, Komuniti dan Negeri. Syabas dan tahniah kepada JHEWA dan barisan Urus Setia sepanjang penganjuran program ini,” kata beliau.


James mengajak semua pihak agar bersama-sama berganding bahu menjadi agen perubahan, berdiri teguh dengan Kerajaan, memperkasakan agenda Malaysia Madani demi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju disegani di persada antarabangsa.


“Saya sangat berbangga untuk meraikan salah satu pencapaian Kerajaan dalam Sustainable Development Goals (SDG) ke 5 iaitu Pembangunan Mampan dan Kesamarataan Gender,” kata beliau.


Sementara itu, James berkata, perjalanan untuk menjadi seorang jurulatih Sabah Gender Focal Points (SGFP) ini bukan mudah dan mengambil masa yang agak lama kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam usaha ini.


Usaha JHEWA dalam pentauliahan Jurulatih SGFP adalah untuk mewujudkan duta atau agen perubahan, yang kita yakin akan menyumbang kepada tadbir urus organisasi, komuniti dan negara yang lebih baik dengan pengagihan sumber dibuat secara saksama dalam memenuhi keperluan wanita dan lelaki yang berbeza.


“Jurulatih SGFP inilah yang akan menjadi pendokong aspirasi Kerajaan berteraskan kefahaman, kapasiti dan keupayaan yang berkaitan gender dalam usaha merealisasikan Dasar Wanita Negara selain membantu meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan gender di kalangan sektor awam, sektor swasta, pemimpin akar umbi khususnya dan masyarakat amnya.
“Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan purata skor 69.4 peratus pada 2022, meningkat 0.2 peratus berbanding 69.2 peratus pada 2021.
“Data tahun 2022 turut menunjukkan skor MGGI 2022, Malaysia berada di kedudukan ke-93 daripada 146 negara di dunia. Pada masa yang sama, dalam kalangan negara Asia Timur dan Pasifik, Malaysia berada di kedudukan ke-11,” katanya.
Ujar James lagi, YAB Perdana Menteri pada Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2023, turut mengumumkan enam inisiatif pemerkasaan Wanita Madani bagi membangunkan masyarakat secara inklusif agar berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.
“Melalui inisiatif tersebut, KPMKR dan JHEWA tetap menyokong usaha Kerajaan dalam mewajibkan pelantikan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di peringkat Perkhidmatan Awam, Sektor Swasta dan GLC.
“Saya berharap penglibatan, komitmen dan usaha Kementerian dan Jabatan berkerjasama dalam mengarusperdanakan Gender akan sentiasa berterusan,” jelas beliau.
TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN