RANAU: Pergerakan Exco Wiramuda Star Bahagian Dewan Undangan Negeri (Dun) Paginatan menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Sabah menyediakan peruntukan RM 160 juta ringgit bagi pembinaan loji rawatan air baru di daerah ini.
Ketuanya, Kong Soon Choi berkata, dengan adanya loji rawatan air yang baru maka dapat mengurangkan gangguan bekalan air di sekitar daerah Ranau yang menyumbang kepada rungutan masyarakat termasuk golongan peniaga.
“Diharap dengan adanya peruntukan itu, pembinaan loji rawatan air berkenaan disegerakan bagi menyelesaikan sepenuhnya isu air yang sering merumitkan rutin kehidupan rakyat. Ini suatu yang menggembirakan dan amat sesuai dengan kehendak akar umbi”. Jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri Sabah, Datuk Robert Tawik dalam Sidang Dun Sabah pada Isnin yang menyatakan kerajaan telahpun menyediakan RM 160 juta untuk pembinaan loji rawatan air baru di daerah Ranau di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).
Antara lain Robert menjelaskan, loji rawatan air baharu berkapasiti 60 juta liter sehari (MLD) akan memperluaskan bekalan air Ranau ke Perancangan dan meningkatkan bekalan ke kawasan yang sering terjejas iaitu Lohan, Skim 1, Kinaratuan, Poring dan kawasan menuju ke Jalan Sandakan.
Dalam pada itu, Kong yang juga Ketua Exco Wiramuda Star Sabah berkata, isu gangguan bekalan air di daerah ini telah sekian lama berlaku dan usaha kerajaan seumpama itu wajar mendapat disokong segenap lapisan rakyat.
Katanya, dalam masa sama, rakyat diminta bersabar seketika jika terdapat gangguan-gangguan kecil pada bekalan air sepanjang proses pembinaan dan penaiktarafan loji rawatan berkenaan kelak.