Wong (tengah)menyampaikan bakul makanan kepada wakil penerima dari Kampung Guntong sambil disaksikan Jahid (dua dari kiri)
TAMPARULI: Inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu menyumbangkan makanan dan keperluan asas kepada masyarakat kampung yang terjejas akibat Pandemik Covid-19 dihargai.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, ramai orang kampung yang menerima kesan akibat dikuarantin memerlukan bantuan kerajaan.
“Justeru, peranan pihak NGO dan syarikat korporat dalam menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada golongan tersebut juga amat dialu-alukan buat masa ini selain bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas menyaksikan penyerahan bantuan bakul makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Sukarelawan Love Angel Sabah di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah, Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Setiausaha Perhubungan Awam KPLB Sabah, Romeo Sindeh, dan Pegawai Kerja Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Joanna Sinteh
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berharap agar lebih banyak NGO lain yang akan tampil membantu agar mereka yang terkesan akan terbela di dalam menghadapi kehidupan harian.
Bagi pihak rakyat di Tamparuli, beliau mengucapkan terima kasih kepada Love Angel Sabah dan semua sukarelawan yang terlibat.
“Kita berharap semoga wabak Covid-19 akan berkurangan dan seluruh rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Love Angel Sabah, Wong Pau Nyuk berkata, sebanyak 120 bakul makanan disumbangkan kepada sebanyak 5 buah kampung yang menerima kesan akibat kes Pandemik Covid-19 akibat dikuarantin.
“Kita amat memahami keperluan penduduk yang mengalami kesukaran untuk keluar dari rumah kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Hadir sama kakitangan UPPM, Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun, Pemaju Mukim, James Sinail dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri, Harris J Mintu.