Jainisah dan kakitangan penerangan mengedarkan risalah kepada pengunjung.
KOTA KINABALU: Konsep infotainment merupakan ruang bagi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah berkongsi maklumat, dasar dan inisiatif kerajaan secara santai dan berhibur.
Menurut Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, pada tahun ini JaPen Sabah memperkenalkan program baharu iaitu Jelajah Info Busking Pentarama X Info On Wheel (IOW) bagi menyampaikan maklumat menggunakan konsep infotainment.
“Pendekatan baharu ini merupakan inisiatif JaPen Sabah dalam mendekati masyarakat dalam menyampaikan maklumat berkenaan dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan cara bersemuka di samping berhibur dengan persembahan dari Basking Pentarama JaPen Sabah.
“Program ini menyasarkan kawasan tumpuan orang ramai yang turut disertai oleh beberapa rakan strategik di mana mereka akan berkongsi inisiatif-inisiatif agensi masing-masing seperti malam ini DBKK Holdings akan berkongsi maklumat berkenaan aplikasi baharu Sabah Smart Parking,” katanya ketika ditemui media semasa Program Jelajah Info Busking Pentarama X Info On Wheel (IOW) di Dataran Deasoka, pada Sabtu malam.
Jainisah turut memaklumkan beberapa kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar Kota Kinabalu sudah dikenal pasti untuk dijadikan lokasi seterusnya selain daerah-daerah lain.
“JaPen Sabah akan bekerjasama dengan beberapa rakan-rakan strategik lain untuk melaksanakan program sebegini dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan dalam memberi pemahaman berkenaan inisiatif-inisiatif agensi masing-masing,” ujar beliau.
Dalam program tersebut, Jainisah turut mengedarkan risalah maklumat, dasar dan inisiatif kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri kepada masyarakat setempat.
Dianggarkan lebih 1,000 pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis-artis Pentarama JaPen Sabah, selain mendengar taklimat dari Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu dan wakil dari DBKK Holdings.-Penerangan-