Jonathan ketika berucap pada program Malaysia Prihatin anjuran KDN.
RANAU: Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia YB.Jonathan Yasin berkata, satu strategi yang khusus dan berkesan membendung Covid-19 adalah melalui pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi melindungi rakyat.
Menurutnya program imunisasi itu turut dilaksanakan di lebih 50 buah negara dengan sasaran kepada golongan yang berisiko termasuklah Amerika Syarikat, Britain, Rusia, Eropah, Kenada, Emiriah Arab Bersatu, China, Singapora dan ada negara itu telah pun melaksanakan program imunisasi sejak tahun lalu.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau menegaskan , program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu mensasarkan 70 peratus populasi Malaysia divaksin untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dengan harapan akhirnya dapat menamatkan pandemik tersebut.
“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengandungi tiga Fasa iaitu, Fasa Pertama melibatkan petugas barisan hadapan bermula 26 Februari hingga April 2021, Fasa Kedua bermula April sehingga Ogos 2021 melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dan Fasa Tiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas bermula Mei 2021 sehingga Februari 2022”, jelas Jonathan ketika ditemui selepas merasmikan program Malaysia Prihatin anjuran KDN di Kg.Perancangan Ranau baru-baru ini.
Menurutnya Vaksinasi amat penting untuk melindungi bukan sahaja diri sendiri tetapi juga keluarga, rakan sekerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti selaras dengan slogan program Imunisasi Covid-19 iaitu, Lindung Diri, Lindung Semua’.
“Pemberian Vaksin Covid-19 adalah secara sukarela tetapi sangat digalakkan dengan menyediakan beberapa platform untuk kemudahan rakyat mendaftar bagi program Imunisasi iaitu melalui Aplikasi Mysejahtera, Talian hotline dan laman sesawang www.vaksincovid.gov.my, Pendaftaran di fasiliti perubatan awam atau swasta dan program Outreach”, jelasnya.
Jonathan mengharapkan para barisan hadapan turut menjadi agen untuk memberi kesedaran kepada dengan menyebarkan maklumat yang tepat dan betul mengenai kepentingan program imuisasi kepada keluarga, jiran dan masyarakat sekeliling.
” Kita mengharapkan dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, keadaan kehidupan rakyat dan ekonomi negara akan menjadi lebih baik”, tambah Jonathan.