Sebahagian pelajar yang mengikuti Program Outreach Edu’voyage di sini baru-baru ini
RANAU: Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Program Outreach Edu’voyage bertemakan “Pendidikan” sebagai inisiatif signifikan untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berpendidikan dalam membentuk masa depan gemilang.
Rakan Exco Publisiti dan Informasi IKSAS UPSI, Nurhidayah Binti Mahmusa berkata, program ini telah berlangsung selama 10 hari iaitu bermula 5 hingga 14 Mac yang telah disertai oleh pelajar-pelajar serta komuniti di Sabah.
Katanya, Program Outreach Edu’voyage ini telah dijalankan sebanyak 10 zon yang melibatkan 23 daerah Sabah iaitu Kota Kinabalu, Kiulu, Tuaran, Keningau, Tenom, Telupid, Tongod, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Kota Marudu, Kudat, Pitas, Tawau, Kunak, Semporna, Ranau, Kota Belud, Tambunan dan Papar.
“Malahan Program Outreach pada kali ini telah disertai sebanyak 35 buah sekolah yang melibatkan seramai 1,373 pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6,” katanya.
Antara pengisian Program Outreach kali ini ialah memperkenalkan UPSI dan Persatuan IKSAS, memberi pendedahan bantuan pendidikan yang ada serta diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik untuk mengasah bakat para pelajar.
Pengarah Program Outreach Edu’voyage 2024, Nurfitri Yazmeena Binti Yahya berkata, “Sejujurnya, saya melihat bahawa program ini amat wajar dilaksanakan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar sebelum melangkah kaki ke menara gading.
“Saya berharap agar program seperti ini dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada semua pelajar yang hadir pada hari ini untuk menambah nilai pengetahuan yang sedia ada,” ucapnya.
Para tenaga pengajar dan fasilitaor dari IKSAS UPSI bergambar kenangan bersama para pelajar di Ranau
Fendi Kamilis selaku Yang Dipertua Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah Sidang 2023/2024 turut berkata “Program Outreach pada kali ini juga menampakkan bahawa adanya sikap kesatuan dalam kalangan mahasiswa di Sabah kerana bukan sahaja pelajar dari UPSI yang terlibat sebagai Ajk Pelaksana Program malahan ada sukarelawan daripada Universiti lain.
“Malahan program ini juga salah satu inisiatif dalam membantu murid-murid di Sabah agar masalah keciciran pendidikan tidak berlaku serta menanamkan sifat ‘Saya Mahu Ke Menara Gading’,” katanya.
Terdahulu, Dr. Rizoh Bosorang yang mewakili Adun Kadamaian merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick sebagai perasmi Program Outreach : Future Bound di Kota Belud berkata “YB Menteri (Datuk Ewon) memang senantiasa menjadikan pendidikan sebagai tujuan utama dalam misi beliau.
“Sebab itu kami selalu menyokong program-program berkaitan dengan pendidikan sebab kami mahu kamu semua faham yang sambung belajar ke peringkat universiti itu penting dan tidak semestinya menjadi guru atau seperti saya yang sudah sampai ke peringkat Dr (PhD) dan bukan menjadi pensyarah tetapi memikul tanggungjawab untuk membantu masyarakat.
“Saya tidak katakan menjadi petani itu salah, tetapi bila kamu sambung belajar sekurang-kurangnya kamu tahu untuk menjadi petani moden,” katanya.
Setiap zon menganjurkan pelbagai aktiviti dan slot pengisian yang sudah pastinya akan memberi manfaat dan nilai tambah dalam diri setiap peserta.
Setiap peserta juga kelihatan ceria dan teruja dengan setiap aktiviti yang dijalankan sekaligus dapat menambah pengalaman dan menjadi sumber motivasi kepada pelajar dan masyarakat Sabah.