CANTIK DIPANDANG …. Jahid tertarik melihat ikan laga jenis ‘Candy Halfmoon’ dan Hmpk Koi Galaxy Multi’ yang diperkenalkan oleh para pengusaha ikan laga baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Ikan laga berpotensi sebagai bidang perniagaan sampingan golongan belia terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pemeliharaan ikan laga hari ini mendapat sambutan dan mampu dijadikan sumber pendapatan dalam kalangan orang muda selain tidak ramai pengusaha yang benar-benar mengusahakannya untuk tujuan pasaran.
“Pemeliharaan ikan hiasan mungkin dianggap sekadar hobi kepada peminat yang biasanya menempatkan ikan emas, kelisa dan ‘flower horn’ di dalam akuarium dihias cantik di sudut kediaman masing-masing.
“Namun, ikan hiasan laga atau dikenali sebagai betta fish, kini mempunyai peminat tersendiri, tidak kira golongan tua atau generasi muda” katanya ketika menerima kunjungan pengusaha ikan laga di Bilik Mesyuarat Menteri KPLBS, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Unit Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Persekutuan), Nelbon Tulis Missun dan pengusaha ikan laga, Erzwan Ahmid dan Walter Binson, yang bakal membawa perniagaan ikan laga itu ke Tamparuli kelak.
“Misi kita adalah untuk membantu masyarakat termasuklah golongan belia dalam kalangan keluarga e-Kasih di luar bandar untuk keluar dari kepompong kemiskinan” katanya.
Justeru, beliau menyeru kepada golongan muda terutamanya mereka yang tergolong dalam senarai e-Kasih agar menceburi bidang tersebut bagi membantu meningkatkan sumber pendapatan.
Tambah beliau, Ikan Betta mempunyai tarikan tersendiri mengikut jenis, warna, bentuk dan ciri-ciri dimilikinya.
“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLBS) akan membantu golongan belia dalam kalangan keluarga tergolong e-Kasih, terutamanya mereka yang ingin mencuba, serta kawasan di mana ada anak mudanya yang berminat,” ujar beliau.
Selain itu, katanya, KPLBS bersedia untuk membantu golongan tersebut dari segi kursus dan latihan khusus berkaitan ternakan tersebut melalui agensi yang dikenal pasti mempunyai kepakaran dalam perusahaan ikan Laga.
Dalam pada itu, seorang daripada pengusaha yang hadir, Ridwan Kanaung memberitahu, setelah beliau menyedari potensi ikan laga tersebut, beliau akhirnya menjadikan ikan berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingannya.
Menurutnya, ternakan ikan laga mampu memberi pulangan lumayan kerana walaupun bersaiz kecil, harga seekor ikan boleh mencecah antara RM30 hingga RM1,000 jika jenis ikan terbabit sukar ditemui.