31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Hidup bersama masyarakat pelbagai bangsa dan anutan agama merupakan tonggak kepada perpaduan dan keharmonian sejagat

(Dari kiri )...Georgina George, Ravichandran A/L Periannan dan Shaun Foo Wen Shiun

RANAU: Hidup bersama masyarakat pelbagai bangsa dan anutan agama merupakan tonggak kepada perpaduan dan keharmonian sejagat yang amat dititikberatkan segenap masyarakat di daerah ini. Amalan saling hormat menghormati dikalangan masyarakat antara kekuatan yang menjamin asas kehidupan selesa dan gembira yang perlu dipertahankan setiap kelompok masyarakat terutama sekali menjelang perayaan Krismas yang bakal tiba tidak lama lagi.

Kenyataan ini turut disokong para natizen pelbagai bangsa dan agama yang antara lain menolak sifat ‘Perkauman’ yang boleh memecah-belahkan keharmonian masyarakat. Seorang ahli politik tempatan berbangsa Dusun di daerah Ranau, Georgina George, 45, menyatakan, walaupun beliau merupakan ahli politik yang kadang-kala berdebat dengan pelbagai isu masyarakat, namun, isu perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan sama sekali tidak menjadi topik beliau. Malah katanya, beliau sering mengajak agar rakyat di daerah dan negeri ini terus mempertahankan keharmonian hidup dengan semua bangsa walaupun menganut pelbagai kepercayaan.

‘’Saya gembira apabila mempunyai ramai kenalan dari pelbagai bangsa dan agama. Tidak lama lagi saya akan menyambut perayaan Krismas, tiada masalah bagi rakan-rakan saya dari suku kaum dan agama lain memberikan ucapan Krismas kerana kami saling menghormati diantara satu dengan yang lain’, jelasnya.

Bagi Ravichandran A/L Periannan, 59 tahun, yang juga seorang guru di salah sebuah sekolah menengah di Daerah Ranau, beliau amat kagum dengan sikap saling hormat menghormati dikalangan masyarakat di negeri Sabah. Katanya, walaupun beliau berketurunan India dan berasal dari Semenanjung, namun tiada masalah untuk bergaul dan hidup ditengah-tengah suku bangsa Dusun yang merupakan komuniti terbesar di Ranau.

‘’Salah satu kunci untuk hidup harmoni bersama kelompok masyarakat adalah sikap saling menghormati diantara kita. Kita harus merayakan keunikan yang terdapat disini iaitu ‘Unity In Diversity’ dimana pelbagai kaum, keturunan, agama dan budaya dapat hidup dengan harmoni dalam satu kelompok masyarakat’’, katanya yang juga telah mendirikan rumah tangga dengan penduduk tempatan di sini.

Sementara itu, bagi seorang lagi penduduk dari suku kaum Cina, Shaun Foo Wen Shiun, 41 tahun menyatakan, tiada masalah bagi beliau dan keluarga untuk hidup dengan pelbagai bangsa dan agama di daerah Ranau atau dimana-mana tempat sekitar negeri Sabah. Tegasnya, amalan suka meniup sentimen kebencian kepada sesuatu kaum dan agama perlu segera ditepis oleh segenap masyarakat di daerah ini agar keharmonian terus terpelihara.

‘’Saya juga mempunyai ramai kenalan dari pelbagai suku bangsa dan anutan agama lain. Kenapa kita perlu meniup sentimen api kebencian dikalangan bangsa dan anutan agama, adakah kita mahu suasana porak-peranda dan tidak selamat semata-mata kerana bencikan sesuatu kaum dan agama, kita perlu bersyukur kerana lebih ramai kenalan kita dari pelbagai bangsa, maka lebih luas pengetahuan kita dan hidup juga selesa dan harmoni’’, tegasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN