30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Hentikan pertukaran Jururawat Sabah ke S’jung, S’wak: James

CENDERAHATI… James (kanan) menerima cenderahati disampaikan Dr.Asiahton, Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (MNA)


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mengekalkan jururawat yang bertugas di Sabah dan tidak ditukar ke Semenanjung atau Sarawak.


Beliau yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah menegaskan bahawa Sabah sendiri amat memerlukan lebih ramai jururawat untuk ditempatkan di hospital dan klinik di negeri ini.


“Di negeri Sabah, pelbagai isu dan permasalahan dihadapi oleh jururawat-jururawat bukan sahaja di kawasan luar bandar, pedalaman, malah di kawasan bandar.


“Antaranya ialah terdapat jururawat yang berasal dari negeri Sabah ditukarkan ke Semananjung dan Sarawak.


“Justeru selaku Exco Kesihatan Negeri Sabah, saya meminta kepada KKM agar mengekalkan jururawat yang bertugas di Sabah dan tidak ditukar ke Semenanjung atau Sarawak,” kata beliau.


Tambah James, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan jumlah jururawat semasa di negeri ini adalah seramai 11,245 orang (peringkat Perjawatan); 10,286 orang (Pengisian) dan sebanyak 959 kekosongan yang belum diisi.


“Merujuk kepada statistk tersebut, tiada keperluan untuk jururawat di negeri ini ditukarkan ke Semananjung atau Sarawak.


“Malah kami di sini memohon kepada KPPA supaya kekosongan yang berjumlah 959 diisi oleh mana-mana Jururawat Terlatih yang masih menganggur di negeri Sabah.


“Ini termasuklah pekerja di bawah MySTEP agar dipertimbangkan untuk diserap ke jawatan tetap KKM,” kata beliau.


Dalam perkembangan yang sama, James berkata masih terdapat petugas terutamanya jururawat tidak mempunyai kemudahan tempat tinggal atau kuarters yang sempurna.


“Dalam beberapa siri lawatan saya ke Hospital dan Klinik-klinik Kesihatan dan Klinik Desa di seluruh negeri Sabah, saya dapati situasi ini berlaku dan saya amat simpati dengan keadaan mereka, sedangkan mereka adalah sebahagian petugas barisan hadapan.


“Saya mohon kepada KKM agar melihat perkara ini dengan sewajarnya sebagai satu keperluan asas yang sepatutnya dinikmati oleh jururawat-jururawat yang bertugas terutamanya di kawasan luar bandar atau pedalaman,” katanya.


James menambah, beliau turut difahamkan bahawa para Jururawat Masyarakat (Midwife) yang melanjutkan kursus di ILKKM terpaksa berhadapan dengan isu gaji apabila mendapat lantikan baru sebagai Jururawat.


“Kita mendapati gaji mereka jauh lebih rendah daripada gaji semasa menjadi Jururawat Masyarakat.


“Sehubungan itu saya mahu KKM mempertimbangkan untuk membuat penyelarasan gaji kepada mereka, kerana difahamkan mereka juga mempunyai tanggungan atau komitmen bulanan seperti hutang kereta dan rumah,” kata beliau.


James juga menegaskan supaya gred perjawatan yang ada di Sabah tidak dibawa ke Semenanjung atau ke negeri lain, dan meminta supaya jawatan-jawatan atau kemahiran yang ada di Sabah, dikekal di negeri ini.


“Sebagai contoh, seperti gred 52, 54, 48, 44, saya minta jangan ditarik ke Semenanjung, kekalkan di Sabah. Kalau ada pegawai yang pindah ke Semenanjung, pindah saja.


“Carilah gred di Semenanjung, kadang-kadang gred perjawatan yang sudah sah dibawa ke Semenanjung menjadikan gred kita di Sabah berkurangan,” keluh beliau.


James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Persatuan Jururawat Malaysia Yang Ke-74 yang diadakan di SICC, Kota Kinabalu pada malam Jumaat.


Beliau mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Jururawat Malaysia dan Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Negeri Sabah, atas kejayaan mengadakan majlis berkenaan.


“Sesungguhnya majlis ini antara lain adalah untuk meraikan bukan sahaja pencapaian profesional para jururawat tetapi juga dedikasi yang tidak berbelah bahagi yang mentakrifkan profesion kejururawatan di Malaysia.


“Saya dimaklumkan bahawa tahun ini adalah merupakan perhimpunan terbesar untuk Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Jururawat Malaysia, dengan 1,300 peserta seluruh Malaysia dan ia juga kali pertama diadakan di Sabah, yang dianjurkan bersama Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Sabah.


“Tahniah dan terima kasih juga kepada Persatuan Jururawat Malaysia kerana menaja sepenuhnya makan malam kita pada malam ini,” kata beliau.


Sementara itu, James berkata, jururawat adalah profesion yang mendominasi sektor kesihatan sehingga jururawat diumpakan sebagai “Tulang Belakang” kepada sistem kesihatan negara malah kemahiran dan kepakaran yang diperolehi melalui latihan dan pengalaman membuatkan seseorang jururawat amat diperlukan.


“Komitmen anda sebagai jururawat dalam menyediakan penjagaan berkualiti, selalunya dalam keadaan yang mencabar, dan sememangnya patut dipuji.


“Tahun ini, tema Hari Jururawat Sedunia ialah: “Our Nurse Our Future: The Economic Power of Care”. Tema ini amat bertepatan sekali dengan apa yang jururawat lakukan setiap hari.


“Melalui usaha gigih anda, sistem penjagaan kesihatan terus berkembang maju dalam memastikan kesejahteraan rakyat. Justeru pada malam ini, kita mengiktiraf sumbangan besar yang diberikan oleh jururawat kepada masyarakat kita di negara ini, khususnya di negeri Sabah,” katanya.


Tambah beliau, ketika negara berdepan pandemik COVID-19, jururawat berada di barisan hadapan, menunjukan daya tahan, keberanian, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menjalankan tugas dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik tanpa mengenal erti lelah bekerja siang malam tanpa mengira waktu.


“Bukan mudah menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang jururawat. Sumbangan jururawat seiring pentingnya dengan tugasan seorang doktor.


“Bagi pihak kerajaan dan rakyat, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jururawat,” katanya.


Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Jururawat Malaysia, kerana telah memainkan peranan penting dalam menyokong komuniti kejururawatan, menyediakan platform untuk pembangunan profesional, advokasi dan rangkaian.


“Dedikasi persatuan ini untuk memajukan profesion kejururawatan melalui pendidikan dan latihan berterusan memastikan jururawat Malaysia dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran terkini untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan negara kita yang semakin berkembang.


“Ke arah itu, saya menggalakan agar jururawat dari pelbagai latar belakang seperti jururawat dari sektor awam, swasta, Tutor ILKKM, pensyarah kejururawatan dari universiti awam dan swasta di negeri Sabah, bersatu dalam persatuan yang boleh menyediakan platform kepada jururawat satu Malaysia seperti Persatuan Jururawat Malaysia, yang ada sekarang ini.


“Sudah pastinya, melalui persatuan, suara anda akan lebih kuat dalam apa juga tuntutan yang menjurus kepada kepentingan hak dan masa depan anda semua sebagai jururawat,” katanya.


Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, James menegaskan bahawa beliau akan terus konsisten dalam membela nasib warga KKM di negeri ini termasuklah jururawat, agar mereka juga menikmati kesejahteraan dalam kehidupan harian mereka.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN