FAIRUZ
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan meminta agar pihak yang terlibat dengan kemelut isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar berhenti untuk saling menyalahkan satu sama lain, sebaliknya ‘turun padang’ untuk mencari solusi penyelesaian segera.
“Sudah, jangan saling tunding jari dan gunakan platform media sosial sebagai ruang berlawan. berdebat atau saling menyalahkan.
“Jabatan Air adalah jabatan yang bertanggungjawab untuk masalah air dan UMS pula adalah institusi pengajian tinggi yang menjadi antara sebuah prestij kebanggaan Sabah kerana melahirkan graduan.
“Tidak wajar untuk kedua-duanya saling terus menerus menggunakan media sosial dan menyalahkan satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Fairuz lagi, langkah terbaik yang perlu dibuat oleh kedua-dua pihak adalah mencari jalan penyelesaian secara matang dan tidak memanjangkan isu tersebut hingga menimbulkan pelbagai masalah lain kelak.
“Dua-dua perlu jumpa, cerita, bincang, turun dan tengok apa keadaan sebenar dan macam mana usaha yang paling terbaik yang boleh dilakukan.
“Tidak perlu berperang aku salahkan kau, kau salahkan aku, berlawan sampai bila dan masalah pula macam mana mahu selesai?
“Tindakan terbaik adalah, jangan lagi bermain emosi dan jadikan sosial media sebagai platform negatif,” jelasnya lagi.



