28 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

HAYATI MESEJ KAAMATAN SEBAGAI SIMBOL KESYUKURAN DAN PERPADUAN KAUM-DATUK ABIDIN MADINGKIR

Datuk Abidin (3 dari kanan) bergambar bersama Johan ‘Unduk Ngadau’

RANAU Rakyat Sabah perlu menghayati mesej penting di sebalik sambutan Pesta Kaamatan sebagai satu simbol kesyukuran dan perpaduan kaum.

Pesta Kaamatan merujuk kepada tempoh penuaian padi, yang melibatkan satu siri ritual tradisional yang memuncak akhirnya ke Magavau (meraikan semangat padi) dan perayaan Moginakan Kaamatan (Tuai).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Abidin Madingkir, berkata walaupun mungkin ada masa-masanya hasil padi kurang lumayan, tradisinya, setiap tahun masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) tetap akan menyambut Pesta Kaamatan setiap bulan Mei sebagai tanda kesyukuran meraikan hasil padi yang telah dituai.

“Sambutan Pesta Kaamatan secara bersemuka pada tahun ini adalah antara perayaan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dari pelbagai kaum dan agama termasuk para pelancong. Setelah terhenti selama dua tahun akibat pandemik, Pesta Kaamatan kembali diraikan semula secara bersemuka dan ini memberi kesempatan kepada kita menghadiri majlis-majlis terbuka Kaamatan sambil tetap mematuhi SOP,” katanya.

Datuk Abidin berkata, keunikan semasa Pesta Kaamatan ialah masyarakat boleh ‘duduk semeja’ tanpa sikap prejudis atau dibatasi fahaman agama, kaum dan ideologi politik. Beliau memuji masyarakat di Negeri Sabah khususnya di daerah ini kerana ‘duduk semeja’ walaupun berlainan agama dan kaum, sudah menjadi satu budaya yang sebati dalam kehidupan.

Datuk Abidin bersama penduduk yang hadir

“Ia satu norma yang kita banggakan, kekalkan dan warisi serta wadah penting bagi memupuk perpaduan dan menaikkan semangat persaudaraan antara kaum. Semua masyarakat perlu memainkan peranan mempertahankan keharmonian yang dikecapi selama ini supaya agenda pembangunan kerajaan berkesinambungan dan terpelihara,” katanya.

Datuk Abidin mengajak masyarakat terus bersatu padu, memantapkan keharmonian antara satu sama lain. Menurutnya lagi, aspirasi kerajaan ialah memastikan bahawa rakyat di negara ini sentiasa mempunyai perpaduan yang erat kerana perpaduan kaum akan menjadikan negara aman dan tenteram.

Turut hadir dalam perasmian Pesta Kaamatan peringkat Kampung Miruru itu ialah Kong Soon Choi (Naib Presiden Parti STAR Pusat), OKK Muhasip Haji Ruman (Ketua Daerah), Juis Konsuling (Setiausaha Bahagian STAR N38 Paginatan) para KAN, Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK.

Antara acara menarik pada majlis itu ialah pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi. Dalam pertandingan Unduk Ngadau, Jocye Ester Alex dinobatkan sebagai johan manakala tempat kedua dan ketiga, Christa Paulus dan Cashrina Tugoh. Bagi pertandingan Sugandoi, johan dimenangi oleh Biebie Jutanis, tempat kedua dan ketiga, Jhetty Mailus dan Syretecia Muin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN