Abdul Halim (tengah) menyampaikan cenderakenangan kepada Shahelmy
TAWAU: Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato Hj Abdul Halim Bin Hj Abdul Rahman menggesa semua pihak agar melenyapkan stigma negatif terhadap penubuhan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di kawasan ini.
Ini kerana, katanya, penubuhannya bukan bertujuan menimbulkan persepsi negatif, sebaliknya usaha untuk memberi rawatan dan pemulihan kepada mereka yang tersasar daripada jalan ini.
“Dengan kata lain, penubuhan ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang terjebak untuk kembali tampil sebagai khalifa yang berjiwa Madani bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada komuniti setempat,” katanya.
Abdul Halim berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Bagi Tapak Projek Pembinaan PUSPEN di Batu 36, Tawau, pada hari Ahad.
Katanya majlis itu diadakan dengan Kerjasama KDN, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah.
Menurut beliau, Konsep Malaysia MADANI hendaklah dijadikan hala tuju bagi semua tulang bekalang kerajaan baik kerajaan negeri, Persekutuan, jabatan dan agensi negara pada tahun-tahun yang mendatang iaitu bersifat mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, berkeyakinan dan sentiasa bersifat ihsani.
“AADK sebagai contohnya agensi di bawah KDN adalah agensi terpenting dalam menjayakan konsep pembangunan Malaysia MADANI.
“AADK adalah peneraju utama dalam membasmi dadah melalui pendekatan Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan serta Penguatkuasaan.
“Melalui AADK juga, negara sangat komited menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, cekap, tepat dan mesra demi kepentingan rakyat sejagat,” katanya.
Abdul Halim berkata, kerja awalan pembinaan PUSPEN dan Pusat Tahanan Reman (PTR) Tawau telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan – 4 bagi tahun 2024.
Tambahnya, JKR Sabah telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek ini dengan kos siling keseluruhan sebanyak RM8.5 juta.
Tapak bagi projek pembinaan PUSPEN Tawau itu telah menerima pewartaan daripada Kerajaan Negeri Sabah pada 14 Mac 2024.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada JTU Sabah dan juga JTU Tawau selaku jabatan yang sentiasa bekerjasama dengan pihak KDN dan AADK dalam memastikan proses pengukuran tanah ini diselesaikan dengan secepat mungkin.
“Saya berharap pada masa akan datang, apabila kerja awalan ini telah selesai dilaksanakan, kerja-kerja pembinaan PUSPEN Tawau ini dapat diteruskan agar perkhidmatan terbaik khususnya pelaksanaan program rawatan dan pemulihan dalam institusi (RPDI) bagi mereka yang mengalami permasalahan dadah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.
Tambahnya, sejak sekian lama AADK beroperasi di Pantai Timur Sabah khususnya di daerah Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan kawasan sekitarnya, mereka terpaksa mengambil masa berbelas jam untuk pergi ke PUSPEN dan PTR Papar bagi mendapatkan perkhidmatan atau menjalani program RPDI.
“Ini kerana, fasiliti itu hanya ada di Papar sahaja bagi keseluruhan Negeri Sabah.
“Melihat kepada kekangan itu, KDN menerusi AADK komited untuk menyediakan kemudahan tambahan dengan pembinaan dua fasiliti ini serentak agar AADK boleh menyediakan perkhidmatannya kepada pendudukpenduduk di sekitar Pantai Timur Sabah.
“Kemudahan itu bukan sahaja dinikmati oleh warga kerja AADK, sebaliknya adalah untuk penduduk-penduduk di sekitar Pantai Timur Sabah amnya,” katanya.
Abdul Halim menambah, model rawatan dan pemulihan yang dijalankan AADK menerusi Model i-Pulih AADK turut mengadaptasikan modul sokongan sosial khususnya daripada sistem kumpulan sokongan terdekat seperti ibu bapa, suami atau isteri, ahli keluarga dan saudara-mara sebagai penyumbang kepada pengekalan kepulihan sepanjang hayat.
“Dengan adanya fasiliti ini, saya yakin dan percaya, kumpulan tertentu yang memerlukan perkhidmatan ini lebih mudah untuk mendapatkan akses rawatan dan pemulihan selain dapat menzahirkan sokongan khususnya ketika sesi lawatan keluarga yang menjadi terapi terapeutik kepada klien-klien AADK,” jelas beliau.
Beliau merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang telah membantu pihak KDN dan AADK dalam memastikan proses pewartaan tanah ini diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir. Shahelmy Yahya, Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui, ADUN Balung Datuk Hamild @ Hamid Haji Awang, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah merangkap Ahli Parlimen Kalabakan dan ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan Shobah binti Jamil, Presiden Majlis Perbandaran Tawau Pang Pick Lim @ Joseph dan lain-lain.