Gambar – Jonas mencatat sesuatu ketika mengadakan perbincangan dengan Guandee.
KUALA PENYU–Beberapa batang sungai di daerah ini yang mengalami hakisan dijangka akan dapat diselenggarakan sebaik sahaja pihak kerajaan dapat menyediakan peruntukan untuk tujuan tersebut.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Senator Datuk Guandee Kohoi, berkata pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan itu dari kementerian berkenaan agar sungai terbabit dapat diselengara dan dipulihkan.
Katanya, banyak sungai di daerah berkenaan telah mengalami hakisan dan ini memerlukan pemulihan bagi membolehkan ia dapat berfungsi seperti biasa untuk manfaat manusia dan alam.
Beliau menyatakan perkara itu ketika mengadakan perbincangan dengan Ketua bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kuala Penyu, Jonas Sunggim di ibu pejabat parti itu, baru-baru ini.
Pada perjumpaan itu, mereka juga membincangkan mengenai perancangan pembangunan lain yang boleh dilaksanakan di daerah tersebut.
“Kita akan cuba mendapatkan peruntukan bagi tujuan tersebut agar ia dapat direalisasikan untuk faedah rakyat,” katanya.
Guandee yang juga Setiausaha Agung STAR dijangka akan mengadakan program di Kuala Penyu dengan kerjasama pejabat daerah termasuk menemui ketua-ketua jabatan yang berkaitan.