Foto: BNN
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk mengekalkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung GRS dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS malam ini, setelah mengambil kira keberkesanan kerjasama tersebut dalam menjamin kestabilan politik di Sabah sejak ia dimeterai.
Menurutnya, kestabilan politik hasil gabungan itu membolehkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan, termasuk penyelesaian isu kemudahan asas di negeri ini.
“Dalam masa terdekat, kepimpinan GRS akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan pimpinan PH bagi menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi parti masing-masing. GRS kekal berpendirian bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak utama dalam kerjasama yang dipersetujui,” katanya.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa mesyuarat berkenaan tidak membincangkan atau mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17 kali ini.



