GRS Hilang Dua Tahun Kerana Terpaksa Berdepan Menteri Kerja Raya Gagal — Armizan
TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kehilangan hampir dua tahun awal pentadbiran negeri kerana terpaksa berdepan kelemahan serius ketika portfolio Menteri Kerja Raya Sabah disandang oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, kata Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata tuduhan Bung bahawa kerajaan GRS adalah “paling gagal di dunia” disifatkan sebagai tidak berasas dan berpatah balik kepada dirinya sendiri memandangkan beberapa projek penting penyelesaian air dan elektrik hanya bergerak selepas beliau tidak lagi memegang portfolio berkenaan.
Menurut Armizan, sepanjang tempoh 2021–2022 ketika Bung menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah, tiada pelaksanaan projek utama penstabilan bekalan air di negeri itu, meskipun beberapa projek telah berada dalam perancangan kerajaan.
Beliau berkata di Tawau, Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 hanya memulakan kerja pada 22 Julai 2025, selepas Bung tidak lagi berada dalam kerajaan, dan dijadual siap pada Julai 2028.
“Di Papar, Projek Naik Taraf LRA Kogopon yang sudah dirancang lebih awal hanya dapat dimulakan pada Ogos 2023 selepas Datuk Shahelmy mengambil alih sebagai Menteri KKR. Ini membuktikan pengganti beliau mampu menggerakkan projek yang sekian lama tertangguh,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah merancang sebuah lagi projek baharu, iaitu LRA Balung II, yang dijangka bermula pada 2026.
Mengenai isu elektrik, beliau menjelaskan bahawa kuasa kawal selia tenaga hanya dipindahkan secara rasmi kepada Kerajaan Sabah pada 3 Januari 2024, selepas 41 tahun berada di bawah Kerajaan Persekutuan.
“SESB masih dikuasai majoriti oleh Kerajaan Pusat melalui TNB. Jadi tidak wajar meletakkan semua kesalahan kepada kerajaan GRS sedangkan kuasa utama tidak berada di tangan negeri pada ketika itu,” katanya.
Armizan turut membangkitkan lantikan dua ketua UMNO bahagian sebagai ahli Lembaga Pengarah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang dibuat melalui cadangan Bung kepada Menteri Tenaga ketika itu.
“Persoalannya, apa sumbangan wakil UMNO dan apa pencapaian kementerian yang dipegang parti itu dalam menyelesaikan isu elektrik Sabah? Hakikatnya, mereka gagal,” katanya.
Beliau berkata sejak kuasa kawal selia tenaga kembali kepada kerajaan negeri dan tanpa penglibatan Bung serta UMNO dalam pentadbiran Sabah, beberapa projek penting penstabilan bekalan elektrik telah dimulakan, termasuk Projek Rangkaian Grid Pantai Timur Southern Link Fasa 1 yang bermula pada 2024.
“Takdir menentukan keluarnya Bung sebagai menteri, dan selepas itu barulah banyak projek penstabilan bekalan air dan elektrik dapat digerakkan dengan lebih tersusun,” tambah beliau.



