27.9 C
Kota Kinabalu
Jumaat, September 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

GRS Bertanding Solo: Aspirasi Akar Umbi yang Mewakili Suara Generasi Masa Depan Sabah

Jess Joel Moriga


TAMPARULI: Kenyataan tegas YAB Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor baru-baru ini bahawa GRS bersedia untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, disambut dengan penuh sokongan dan semangat oleh pemuda serta rakyat di peringkat akar umbi.


Bagi ramai anak muda Sabah, kenyataan ini bukan sekadar pendirian politik, tetapi satu manifestasi kepada harapan besar mereka agar Sabah dipimpin oleh parti-parti tempatan yang memahami denyut nadi rakyat dan keunikan negeri ini dari segi budaya, realiti sosial dan kehendak pembangunan.


Ketua Wiramuda N14 Parti STARSabah merangkap Setiausaha Exco Wiramuda dan Ahli Exco Pemuda GRS, Jess Joel Moriga berkata, suara golongan muda amat jelas bahawa masa depan Sabah harus ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri, melalui parti-parti yang berakar dari bumi ini.


“Kepimpinan parti tempatan Sabah akan diwarisi oleh generasi akan datang, maka sekiranya GRS mengambil keputusan untuk bertanding secara solo, ini adalah titik permulaan yang sangat baik untuk pemuda Sabah. Kami mahu turut serta dalam gerakan ini untuk merealisasikan kehendak rakyat dari peringkat akar umbi,” jelas beliau.


Pandangan ini turut dikongsi dalam mesyuarat Wiramuda Bahagian Tamparuli, di mana rata-rata ahli menyatakan keterujaan dan sokongan terhadap pendirian Ketua Menteri.


Bagi mereka, keputusan untuk fokus kepada kerjasama sesama parti tempatan adalah jalan terbaik ke arah kestabilan dan pembangunan jangka panjang negeri Sabah.


Dalam kenyataan medianya bertarikh 9 Mei 2025, Datuk Seri Panglima Hajiji menyatakan bahawa GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan itu bagi menghadapi PRN.


Beliau menegaskan bahawa prinsip GRS ialah memastikan Sabah dipimpin oleh parti-parti tempatan tanpa menafikan kerjasama lebih luas dengan pihak lain, tetapi tidak dengan mengorbankan aspirasi rakyat tempatan.


Langkah GRS ini dilihat selari dengan sentimen rakyat yang mahu melihat kerajaan negeri diterajui oleh pemimpin dan parti yang benar-benar memahami realiti di Sabah. Di mata generasi muda, ini bukan hanya soal pilihan raya ini soal kedaulatan politik tempatan dan pembinaan masa depan yang lebih bermaruah bagi negeri ini.


Kebijaksanaan Hajiji yang menyerahkan keputusan muktamad kepada Majlis Tertinggi GRS menunjukkan ketelusan dan keterbukaan dalam kepimpinan beliau, dan ini memberikan ruang kepada semua komponen gabungan untuk menyatakan pendirian mereka.


Dalam semangat itu, seruan juga dibuat agar semua parti komponen GRS bersatu hati dan bersedia untuk bertanding secara solo, sebagai simbol kekuatan politik tempatan yang matang dan berdaulat.


Seiring dengan itu, Wiramuda N14 Tamparuli menyatakan komitmen penuh untuk menjadi tulang belakang dalam menjayakan perjuangan ini, dan mengajak seluruh rakyat Sabah untuk berdiri bersama parti-parti tempatan dalam membina masa depan yang stabil, makmur dan berteraskan suara rakyat sendiri.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN