Presiden Mitatabang Komuniti, Prof. Madya Dr. Bonaventure (dua kiri) menyerahkan Baju T ‘Mitatabang Komuniti’ kepada Jahid (dua kanan) sebagai tanda terima kasih atas kehadirannya merasmikan program tersebut.
TAMPARULI: Golongan belia diseru agar menimba ilmu dalam pelbagai bidang serta mengubah minda dan perspektif pemikiran mengenai sesuatu bidang agar mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pada peringkat umur yang masih muda, seharusnya golongan belia memanfaatkannya dengan mempelajari pelbagai bidang lain yang di luar kemahiran mereka dan tidak berpandangan negatif mengenai sesuatu bidang yang di luar keminatan mereka.
“Jangan takut atau cepat memberi persepsi negatif mengenai satu-satu bidang, contohnya Agro atau Pertanian ini, malah bidang seperti inilah antara yang mampu memberi pendapatan lumayan kepada masyarakat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Agropreneur Muda anjuran Mitatabang Komuniti di Dewan Belia Tamparuli di sini kelmarin.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO), Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), Jilias Lintar, dan Timbalan Pengerusi Taman-Taman Sabah, Peter Lintar.
Menurut Jahid, pertanian merupakan salah satu cabang keusahawanan yang boleh diceburi oleh semua peringkat umur dan seharusnya peluang mempelajari bidang tersebut menerusi kursus yang bakal ditawarkan oleh NGO berkenaan direbut oleh belia.
“Dengan adanya ilmu-ilmu yang baharu, kita akan menjadi lebih yakin, manakala dengan adanya guru kita akan lebih terpimpin,” katanya.
Beliau turut memberi contoh dengan merujuk falsafah yang sering digunakan kebanyakan pemimpin iaitu, lebih baik memberi pancing daripada memberi ikan, yang membawa maksud lebih baik kerajaan memberikan kemahiran kepada belia agar mereka mampu untuk memperbaiki kehidupan keluarga mereka sendiri kelak.
“Hari ini kamu tidak membayar yuran, malah penceramahnya juga tidak meminta bayaran, jadi, ambillah peluang yang ada dengan mendaftar dalam kursus-kursus yang ditawarkan mereka,” tambah Jahid.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, mengharapkan apabila para peserta keluar daripada dewan berkenaan, kesemua mereka akan mendapat motivasi yang tinggi untuk memperbaiki kehidupan masing-masing.
Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau sekali lagi mengingatkan kepada masyarakat yang masih belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi My Sejahtera agar segera mendaftar demi kesejahteraan diri dan keluarga masing-masing.
Terdahulu, Presiden Mitatabang Komuniti, Prof. Madya Dr. Bonaventure Boniface, berkata, tujuan program berkenaan diadakan adalah untuk membangunkan komuniti yang lebih dinamik dan mempunyai semangat bekerjasama.
“Kita ingin menyemarakkan semula semangat masyarakat tolong-menolong yang kian dilupakan,” katanya.
Menurutnya, Mitatabang Komuniti bakal menggabungkan semua golongan tanpa mengira umur dan kemahiran, dengan cogan kata ‘dari kita untuk kita’.
“Terima kasih atas sambutan yang sangat baik hari ini sehinggakan kehadiran melebihi kapasiti yang ditetapkan dan sasaran asal, mohon maaf kepada yang tidak dapat masuk, terutamanya penyertaan pada saat-saat akhir,” katanya.