Datuk Abidin ketika merasmikan gelanggang sepak takraw tersebut
RANAU: Golongan belia disaran agar memanfaatkan masa lapang dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berfaedah untuk menghindarkan diri daripada dipengaruhi masalah-masalah sosial negatif.
Walaupun berbagai kemudahan disediakan seperti dewan, padang bola, gelanggang sepak takraw dan bola tampar tetapi trend golongan belia masa kini menunjukkan semakin kurang menggemari aktiviti luar, riadah, dan sebagainya menyebabkan kemudahan yang ada terbiar dan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita mengharapkan semua kemudahan yang ada di setiap kampung dapat digunakan dengan semaksima yang boleh. Pihak komuniti kampung boleh merancang berbagai program riadah yang menarik dan bersesuaian seperti aktiviti bersenam, permainan dan sebagainya secara berpusat. Sekurang-kurangnya pengisian program santai sedemikian memberi kesan positif kepada minat dan keterlibatan golongan belia khasnya. Ia juga secara tidak langsung mampu melahirkan golongan belia sebagai pemimpin pelapis yang berkualiti sihat dari segi minda dan fizikal,” katanya.
“Para belia dan beliawanis pula harus bijak mencari dan menyertai atau menganjurkan sendiri apa juga aktiviti-aktiviti berfaedah di masa-masa lapang. Pertemuan yang lebih kerap dapat mengeratkan persahabatan dan mampu menjadi benteng diri daripada pengaruh sosial negatif,” jelas Datuk Abidin ketika merasmikan gelanggang sepak takraw di Kampung Rumantai Ranau baru-baru ini.
Datuk Abidin memuji golongan belia di Kampung Rumantai kerana dapat memikirkan keperluan gelanggang sebagai tempat permainan sepak takraw dan bola tampar. Beliau percaya kemudahan tersebut dapat memberi ruang selesa kepada para belia menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk kebaikan bersama.