Pengarah Pusat Operasi Kaji Cuaca dan Gempa Bumi, Jabatan Meteorologi Sabah, Dr Chai Mui Fatt.
KOTA KINABALU: Gempa bumi bermagnitud 5.9 skala Richter yang berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 diramal boleh berulang dalam tempoh antara 19 hingga 25 tahun.
Timbalan Pengarah Pusat Operasi Kaji Cuaca dan Gempa Bumi, Jabatan Meteorologi Sabah, Dr Chai Mui Fatt, berkata ramalan itu berdasarkan rekod gempa bumi yang pernah berlaku di Ranau sebelum ini dengan kekuatan hampir sama.
Rekod gempa bumi berskala sederhana dengan magnitud 5.1 pernah direkodkan pada 1991, iaitu kira-kira 25 tahun sebelum gempa bumi sederhana magnitud 5.9 yang mengorbankan 18 nyawa pada 2015.
Rekod lama mengenai kejadian gempa bumi turut menunjukkan gegaran memang sering berlaku di daerah itu termasuk yang bermagnitud sederhana dan menyamai apa yang berlaku pada 2015 sejak berpuluh tahun lalu.
“Gempa bumi besar seperti yang berlaku pada 2015 di Ranau pernah berlaku sebelum ini dan berdasarkan rekod itu, kejadian berkenaan boleh berulang dalam tempoh 25 tahun,” katanya pada Program Memperingati Gempa Bumi Gunung Kinabalu anjuran Taman-Taman Sabah secara dalam talian, hari ini.
Beliau membentangkan kertas kerja membincangkan risiko dan sistem pemantauan gempa bumi di Gunung Kinabalu.
Gempa bumi magnitud 5.9 pada kedalaman 10 kilometer di bawah tanah yang berpusat di Gunung Kinabalu, menggegarkan seluruh Sabah pada 5 Jun 2015, menyebabkan kematian 18 pendaki selain pelbagai kerosakan harta benda.
Mui Fatt berkata, kewujudan sesar aktif dikenali sebagai Sesar Aktif Lobou-Lobou di Kundasang, Ranau adalah antara punca gempa bumi sering berlaku dan sentiasa berulang di Ranau.
“Garisan sesar aktif itu sepanjang kira-kira 30 kilometer dan ini bermakna gempa bumi boleh berlaku di sepanjang garisan sesar itu, bukan hanya di pusat gempa yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Selepas gempa bumi pada 2015 itu, katanya Jabatan Meteorologi memasang lebih banyak Stesen Seismik di sekitar Gunung Kinabalu dan seluruh Sabah bagi mengesan secara lebih terperinci gegaran akibat gempa bumi.
Ketika ini, sebanyak 28 Stesen Seismik dipasang di seluruh Sabah dengan keupayaan mengesan gegaran gempa bumi bermula dari sekecil di bawah satu skala Richter berbanding hanya 13 stesen dengan keupayaan mengukur kekuatan dua skala Richter ke atas sebelum 2015.
Sementara itu, katanya, selain Ranau, gegaran kuat akibat gempa bumi turut berisiko tinggi berlaku di pantai timur Sabah, khususnya Lahad Datu dan Kunak, selain Kudat di utara Sabah dengan kekuatan boleh mencapai hingga magnitud 6.5.
“Dari segi risiko bencana kepada penduduk pula, daerah Lahad Datu dan Sandakan dikenal pasti paling tinggi risiko kerana mempunyai populasi yang tinggi berbanding di Ranau dan Kudat,” katanya.- Berita Harian