Jonathan (tengah) dan lain-lain menunjukkan tanda bagus terhadap seminar yang dianjurkan.
Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menggesa para usahawan di sini agar bertabah dalam karier mereka yang sememangnya sering berhadapan dengan bermacam cabaran.
“Apa yang penting ialah apabila kita jatuh, kita bangun semula. Kegagalan adalah satu perkara yang tidak asing dalam kehidupan manusia apatah lagi di dalam bisnes.
“Ia adalah pengalaman yang menyakitkan sehingga kadang kala boleh membuat kita hilang keyakinan diri. Namun kegagalan bukanlah pengakhiran tetapi titik permulaan yang menjadi landasan untuk kejayaan yang lebih besar.
“Dengan mempelajari cara yang berkesan untuk mengatasi kegagalan boleh membantu anda meningkatkan kesanggupan untuk mengambil risiko dan melepasi sempadan zon selesa anda,” katanya.
Menurut Jonathan, usaha yang gigih pasti membuahkan kejayaan.
“Jangan sesekali putus asa dalam membina kejayaan dan sentiasa maju ke hadapan. Usaha yang gigih dan keazaman yang kuat pasti membuahkan hasil yang lumayan.
“Berbekalkan minat yang mendalam terhadap bidang yang diceburi, anda mesti percaya menerusi usaha yang gigih dan tanpa mengenal erti putus asa mampu membawa anda ke peringkat lebih tinggi dalam bidang yang berkenaan,” katanya.
Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Seminar Keusahawanan anjuran bersama Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS), Pejabat Perhubungan P179 Ranau dan Kelab Harapan Ranau Sabah yang diadakan di Dewan Kg Kilimu baru-baru ini.
Berkenaan seminar tersebut, beliau berharap agar para peserta mengambil peluang sepenuhnya dalam mempelajari apa yang dikongsikan oleh para penceramah dan juga melalui aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu dijalankan.
“Semoga seminar telah memberikan sedikit ilmu kepada peserta sama ada untuk mereka yang baru berhasrat untuk menjadi usahawan mahupun bagi peserta yang ingin mengembangkan lagi perniagaan mereka,” kata beliau.
Jonathan juga mengucapkan setinggi tinggi penghargaan kepada pihak Perbadanan Pinjaman Sabah kerana sudi berkerjasama dengan Pejabat Perhubungan Parlimen P179 dalam merealisasikan program yang sangat bermanfaat itu.
“Ucapan terima kasih juga saya tujukan untuk para penceramah yang didatangkan khas daripada UMS dan juga kepada penceramah Motivasi Keusahawanan Taidin Suhaimin,” katanya.
Selain Motivasi Keusahawanan, seminar sehari itu turut melibatkan sessi ceramah seperti Tatacara Pengurusan Kewangan dalam Perniagaan, Rancangan Perniagaan, Pocket talk – SCC Products dan lain-lain.
Turut hadir dalam program itu, Pengerusi Pelaksana yang juga Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, Wakil PPS, Willie Tadam, Penceramah UMS, Rosle Mohidin, Ketua Jabatan Kredit PPS, Chang Kok Kien, para pegawai dan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau dan lain-lain.