Flovia (kanan) menerima borang keahlian dari salah seorang wakil dari PDM Mansiat
SOOK -TULID: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Datuk Flovia Ng menyeru rakyat di kawasannya agar terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Parti Solidariti Tanah Airku STARSABAH dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kesinambungan pembangunan di daerah itu.
Flovia yang juga Naib Presiden STARSABAH dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata, perjuangan parti itu khususnya dalam menegakkan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah kepimpinan Presiden STARSABAH, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, perlu diteruskan dengan sokongan berterusan rakyat.
“Haluan politik Sabah di bawah pimpinan GRS kini berada di landasan yang betul. Apa yang kita perlukan ialah sokongan berterusan, khususnya daripada rakyat Tulid, agar pembangunan yang telah dirancang dan sedang berjalan dapat disempurnakan demi kesejahteraan semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Borang Keahlian STAR N.44 Tulid di Dewan Kg Lalapakon, Tulid, hari ini.
Pada majlis itu, Flovia menerima sebanyak 206 borang keahlian baharu STARSABAH daripada Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mansiat, masing-masing dari Kg Lalapakon (72, KP Wkan Rose Jounti), Kg Mansiat (10, KP KK Lebby Maradim), Kg Sinaron Tengah (50, KP Jamain Layang) dan Kg Mengerimot (64, KP Mansing Mikat).

Flovia (tengah) merakam gambar bersama pemimpin akar umbi dan sebahagain ahli baru STARSABAH di Dewan Kg.Lalapakon, di sini hari ini
Beliau berkata penambahan ahli baharu itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan STARSABAH dan kerajaan GRS, sekali gus memperkukuhkan sokongan parti di akar umbi.
Dalam ucapannya, Flovia turut menggesa ahli parti dan pengundi Tulid agar terus memberikan mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi membolehkan beliau meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.
Beliau juga menekankan pentingnya golongan belia membuat pilihan tepat dalam menentukan masa depan negeri ini khususnya di kawasan DUN Tulid.
Katanya, belia harus bijak menilai dasar serta rekod prestasi pemimpin kerana undi mereka bukan sahaja mempengaruhi kesinambungan pembangunan, malah menentukan hala tuju politik Sabah.
Flovia turut mengucapkan tahniah kepada ahli baharu yang menyertai STARSABAH, sambil menegaskan bahawa parti itu sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“Harapan saya agar STARSABAH terus mendapat sambutan daripada semua lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya.



