TERIMA KASIH…Justine menerima Hamper disampaikan Hasin.
RANAU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA) daerah Ranau telah mencatatkan hasil jualan berjumlah RM100,072.00 daripada 19 orang yang menyertai Bazar Ramadan di pekan Ranau yang bermula13-19 April lepas.
Pegawai Pemasaran Fama daerah Ranau, Hasin Bin Abas berkata, jumlah pendapatan itu adalah hasil terkumpul daripada mereka yang telah mempamer dan menjual ratusan jenis dan jenama Biskut Raya produk buatan sendiri.
Hasin mengharapkan hasil jualan para peserta yang berdaftar dengan Fama akan lebih meningkat lagi dengan penyertaan lebih ramai ahli pada masa akan datang.
“Menerusi program ini, para peserta berdaftar dengan Fama akan dapat menghasilkan pendapatan yang lebih lumayan bagi membiayai keluarga masing-masing terutama menampung kos persekolahan anak mereka”, jelas Hasin.
Beliau memuji kecekalan para usahawan Fama yang menyertai Bazar Ramadan itu kerana mampu menghasil jualan yang positif meskipun negara masih berdepan dengan Inflasi ekoran pandemik Covid-19.
Sempena Bazar Ramadan itu pihak Fama telah mengadakan pertandingan Kecerian Gerai yang telah dimenangi oleh peserta dari Kg.Randagong Lama, Puan Justine Binti Miun telah menerima hadiah berupa Hamper barangan bernilai puluhan ringgit sumbangan Fama Ranau disampaikan Hasin.
Orang ramai yang sempat ditemui, memuji inisiatif pihak Fama daerah kerana menyediakan kemudahan tapak Bazar Ramadan itu, untuk memberi ruang dan peluang kepada para petani (ahli Fama) bagi meningkatkan pendapatan hasil dariada jualan Biskut produk sendiri untuk menampung kos keluarga.
“Sesuai sekali dengan slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ dan peranan Fama membantu golongan petani yang turut mempamer dan menjual hasil pertanian dan bukan hanya tertumpu kepada hasil produk kuih-muih atau Biskut Raya sahaja”, jelas salah seorang pengunjung Bazar, Dominik Kasaman dari Kg.Paka Dua Ranau.