33 C
Kota Kinabalu
Isnin, Disember 2, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Fakulti adalah institusi kudus sebuah gedung intelek.

Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS) 

FAKULTI adalah institusi kudus sebuah gedung intelek, yang wajib dinamakan melalui satu tatacara akademik yang rinci. Ini persoalan tradisi ilmu, bukan emosi kalbu.

Keputusan mesti dibuat mengikut lunas epistemologi dan konvension universiti sejagat. Yang diterimapakai di peringkat global dan nasional. We have to do what is right from scholarly point of view. Not because we think it is right from our personal feeling. Kita tidak mahu jadi bahan momok komuniti ilmu untuk beberapa generasi akan datang.

Apa masalah dengan nama lama? Fakulti Seni, Kemanusiaan dan Warisan (FKSW) telah ditegur semasa audit oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) sebagai tidak sesuai dan inklusif. Kenapa? Nama fakulti tidak menggambarkan ijazah yang diberi kepada 6 (gugusan sains sosial) program akademik sedia ada. Nama fakulti mengelirukan kerana memasukkan bidang yang tidak ditawar sebagai program akademik (Warisan); juga mencampuraduk nama bidang (Seni) dan disiplin (Kemanusiaan) yang redundant.

Segala isu itu, secara mudah boleh dianalogikan begini. Pak Abu ada gerai menjual kobis, timun, kangkung, langsat dan nangka. TETAPI ia dinamakan Gerai Nangka, Buah-Buahan dan Durian. Ada tiga isu besar di sini:

Pertama, kenapa Sayur-Sayuran tidak disebut sedangkan ada Kobis, Timun dan Kangkung? Adakah jualan ini tidak penting dan sengaja didiskriminasi?

Kedua, kenapa Durian disebut sedangkan ia tidak dijual? Adakah kita mahu menipu pelanggan?

Ketiga, perlukah Nangka disebut lagi sedangkan sudah ada nama Buah-Buahan. Bukankah Nangka itu sebahagian item dalam Buah-Buahan?

Untuk menyelesaikan isu ini, FKSW telah menubuhkan secara rasmi Jawatankuasa Penamaan Semula Fakulti (JPSF). Apa yang dibuat? Jawatankuasa ini mengkaji tanda-aras penamaan bagi fakulti-fakulti yang setara bagi 20 universiti awam Malaysia, dan beberapa universiti tersohor dunia. Kemudian jawatankuasa buat engagement dengan semua ahli akademik FKSW menerusi pelbagai bentuk — termasuk dialog, diskusi maya, mesyuarat dan pungutan suara.

Beberapa nama dikemukakan dengan justifikasi yang pelbagai. Ada yang beri hujah akademik, ada yang bagi perspektif manusiawi, ada yang guna logik, ada juga yang pakai sentimen. Semua argumen ini bagus dan ada pemberat tersendiri. Namun akhirnya kita mesti kembali kepada persoalan akar: yang kita mahu namakan ini adalah INSTITUSI AKADEMIK. Bukan pertubuhan sivil, bukan kelab komuniti. Maka hujah berasaskan ilmu dan epistemologi perlu dijunjung paling tinggi.

Di FKSW terdapat 8 bidang pengajian utama: Seni, Geografi, Sejarah, Hubungan Antarabangsa , Hubungan Industri, Sosiologi Antropologi, Komunikasi dan Pendarasan Islam.

Semua bidang ini, secara akademik, terkelompok dalam dua disiplin teras utama, iaitu: Sains Sosial Kemanusiaan

Wajar kita patuh pada taksonomi ilmu yang beroperasi secara universal. Kita ada pilihan sama ada menamakan fakulti mengikut BIDANG atau DISIPLIN. Tetapi tidak boleh campur aduk. Kalau mahu jadi belut, jadilah belut. Jika mahu jadi ular, jadilah ular. Tidak boleh separuh ular, separuh belut. Itu menakutkan dan caca marba! Jadi apa pilihan kita?

Laluan (A). Fakulti dinamakan mengikut bidang. Ia akan jadi — Fakulti Seni, Geografi, Sejarah, Hubungan Antarabangsa, Hubungan Industri, Sosiologi Antropologi, Komunikasi dan Pendarasan Islam (FSGSHAHISAKPI).

ATAU

Laluan (B). Fakulti dinamakan mengikut disiplin teras. Ia akan jadi — Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Akhirnya nama yang dipilih: Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Ini pilihan yang munasabah, tepat, adil dan inklusif. Ia munasabah sebab pendek dan jitu. Juga tepat dari segi epistemologi ilmu; serta sangat adil dan inklusif untuk semua 8 bidang utama di bawah payung fakulti ini. Ia tidak merajadewatakan mana-mana bidang secara tunggal sehingga boleh menimbulkan sentimen kasta bahawa ada program tertentu yang lebih unik dan istimewa berbanding program lain.

Kita semua SETARA. Memberi sumbangan ilmu yang sama signifikan kepada peradaban manusia. Tidak ada bidang yang marginal. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah — di bawah payung disiplin Sains Sosial dan Kemanusiaan. Saya seorang pencinta agung seni, kerana seni sebagai alat advokasi — sangat efektif menyatukan perbezaan.

Apakah seni yang lebih indah di dunia ini selain dari “kesaksamaan sepunya” dan ”keadilan inklusif”? Mari hidupkan semangat ini. –TAMAT-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN