26 C
Kota Kinabalu
Khamis, November 6, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon rasmi Tamu Desa Sukang dan Tamu Desa Tinata di Kadamaian

Ewon (tiga dari kanan) bersama Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud (dua dari kanan), Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Saidatu Akhma Hassan (empat dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM Noor Afifah Abdul Razak (kanan sekali) bergambar bersama selepas perasmian Tamu Desa Tinata.

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hari ini merasmikan dua premis Tamu Desa masing-masing di Kampung Sukang dan Kampung Tinata, Kadamaian, yang dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Ini adalah antara dua Tamu Desa yang dibina di kawasan Kadamaian dari tahun 2024 sehingga kini.

Ewon berkata, pelaksanaan projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak membuktikan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkasa ekonomi komuniti luar bandar melalui pembangunan infrastruktur.

“Saya berharap kemudahan premis ini memberi keselesaan kepada para peniaga tamu dan orang ramai yang berkunjung ke Tamu Desa.

“Selain itu, kemudahan ini juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegiatan seperti mesyuarat mingguan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Yayasan Usaha Maju serta aktiviti kemasyarakatan lain,” katanya.

Beliau bekata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Tamu Desa Kg Sukang, di sini, hari ini.

Ewon berkata, reka bentuk setiap Tamu Desa direka berdasarkan keperluan dan kehendak komuniti setempat.

“Di Kampung Tinata, penduduk memilih reka bentuk berkonsepkan dewan terbuka, manakala di Kampung Sukang pula, reka bentuk yang dipilih berkonsepkan gerai bagi menempatkan para peniaga yang sebelum ini berniaga di tepi jalan.

“Gerai-gerai ini (Tamu Desa) kini dibina di kawasan yang lebih selamat dan tersusun,” katanya.

Ewon berkata, secara keseluruhannya KUSKOP telah menyalurkan sekitar RM29 juta sejak tahun 2024 hingga kini bagi melaksanakan 146 projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.

“Bagi tahun hadapan, di bawah Belanjawan 2026, sebanyak RM20 juta lagi diperuntukkan untuk meneruskan pelaksanaan projek-projek Tamu Desa di kedua-dua negeri ini,” katanya.

Perasmian Tamu Desa Kg Sukang turut diadakan bersempena Program ‘Kenali Koperasi, Dekati IKMA’ anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMA), manakala Tamu Desa Kg Tinata dirasmikan bersempena Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

SKM juga menganjurkan Program Happy Hour Jualan MADANI Koperasi di kedua-dua lokasi, yang menawarkan barangan keperluan harian dengan potongan harga sehingga 50 peratus bagi membantu penduduk kampung mendapatkan barangan pada harga lebih murah.

Pada majlis perasmian Tamu Desa Sukang, Ewon turut menyampaikan sijil penyertaan kepada beberapa koperasi bimbingan di bawah Program Cooperative Digital Empowerment (CODE), yang bertujuan meningkatkan profesionalisme dan keupayaan digital dalam pengurusan
koperasi.

Program di kedua-dua kampung itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Saidatu Akhma Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif SKM Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa Mohd Zaib Mat Yunus, pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi KUSKOP.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN